Antarabangsa Lain-Lain Terkini

Izat julang tali pinggang Fury kecewakan wakil Indonesia


Izat Zaki (kiri) melepaskan tumbukan ke arah wakil Indonesia, Brian Lawitan, dalam pertarungan utama Fury Championship Vol. II di Karisma Arena, Seremban. Izat memenangi aksi lima pusingan itu menerusi keputusan sebulat suara untuk merangkul tali pinggang Fury Muay Thai Lightweight Championship kategori 61 kilogram.

JAGUH Muay Thai negara, Izat Zaki, merangkul tali pinggang Fury Muay Thai Lightweight Championship kategori 61 kilogram selepas menewaskan pencabar Indonesia, Brian Lawitan, menerusi keputusan sebulat suara dalam pertarungan utama Fury Championship Vol. II di Karisma Arena di sini.

Izat disahkan sebagai pemenang selepas mengharungi lima pusingan menentang Brian, yang lebih dikenali sebagai “The Spoiled Boy”, dalam pertembungan Malaysia-Indonesia yang dinantikan sejak tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kemenangan menerusi keputusan sebulat suara selepas lima pusingan. Brian merupakan lawan yang sangat baik dan berpengalaman, malah pertarungan ini telah kami nantikan sejak tahun lalu.

“Walaupun menang, saya sedar masih banyak yang perlu diperbaiki selepas agak lama tidak bertanding. Kemenangan ini menjadi motivasi untuk saya meningkatkan prestasi dan membuat persiapan lebih baik bagi menghadapi kejohanan akan datang,” kata Izat.

Beliau turut menghargai sokongan peminat yang memenuhi Karisma Arena serta mereka yang mengikuti kejohanan menerusi siaran bayar setiap tontonan (PPV).

“Terima kasih kepada semua penyokong yang hadir di Karisma Arena serta yang menonton menerusi siaran bayar setiap tontonan. Sokongan dan kepercayaan anda amat bermakna kepada saya,” katanya.

Kemenangan itu melengkapkan satu lagi pencapaian buat Izat dalam saingan Fury Championship selepas beliau turut menang pada edisi pertama kejohanan tersebut pada 2025.

Sementara itu, Brian menerima keputusan pertarungan secara terbuka dan mengakui pengalaman luas Izat dalam Muay Thai menjadi antara kelebihan utama lawannya.

Menurut Brian, Fury Championship Vol. II merupakan pengalaman pertamanya bertanding dalam disiplin Muay Thai dan memberinya banyak pembelajaran untuk memperbaiki mutu persembahan.

“Saya mengakui Izat merupakan petarung yang lebih berpengalaman dalam Muay Thai. Ini merupakan kali pertama saya bertanding dalam disiplin ini, justeru banyak perkara baharu yang saya pelajari sepanjang perlawanan.

“Walaupun keputusan tidak memihak kepada saya, pengalaman ini sangat berharga. Saya menghormati Izat atas kemenangannya dan akan kembali berlatih untuk memperbaiki kelemahan sebelum turun bertanding semula,” katanya.

Selain pertarungan utama, Fury Championship Vol. II turut menyaksikan Arfiqanie Ahmad Anshori atau Putih “Pretty Boy” menewaskan Ilham “Flanker” Loeisa dari Indonesia bagi merangkul gelaran OPBF Silver Super Lightweight Championship.

Secara keseluruhan, kejohanan edisi kedua tersebut menyajikan 13 pertarungan melibatkan petarung tempatan dan antarabangsa dalam disiplin Muay Thai serta tinju profesional.

Ketua Pegawai Eksekutif Fury Championship, Mohd. Wafiy Ilhan Johan, merakamkan penghargaan kepada barisan penaja, peminat dan semua petarung yang menjayakan penganjuran kali ini.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada barisan penaja, yang bersama-sama menjayakan Fury Championship Vol. II.

“Penghargaan juga kepada semua peminat yang sanggup meluangkan masa pada hujung minggu untuk hadir memberikan sokongan,” katanya.

Beliau turut menghargai komitmen dan disiplin semua petarung sepanjang kejohanan berlangsung.

“Kepada seluruh petarung, sama ada menang atau kalah, kami amat menghargai komitmen, disiplin dan kerjasama yang diberikan. Kami akan kembali dengan penganjuran yang lebih baik pada edisi akan datang,” katanya.

Penganjuran Fury Championship Vol. II menyediakan pentas kompetitif kepada petarung tempatan untuk berdepan pencabar antarabangsa, selain memperluas akses peminat terhadap sukan tempur menerusi siaran PPV di platform Tonton.


Add Comment

Click here to post a comment