Permotoran

Verstappen tenang dua mata ketinggalan di belakang Hamilton


MAX Verstappen mengakui tidak ada istilah tekanan menjelang persaingan merebut kedudukan teratas bersama Lewis Hamilton di Grand Prix Formula Satu (F1) Turki, Ahad ini.

Pelumba Red Bull itu kini hanya kekurangan dua mata (244.5) daripada juara bertahan Hamilton (246.5) selepas 15 perlumbaan.

Pencabar muda berusia 24 tahun ini akan berdepan dengan juara dunia tujuh kali di Istanbul selepas menyaksikan Hamilton mengutip kelebihan dua mata ketika aksi di Rusia sebelum ini.

Verstappen tidak terlalu mendesak untuk merangkul gelaran kejuaraan dunia.

“Saya sentiasa memberi yang terbaik dan sedar pasukan juga telah melakukan sebaiknya.

“Jika ianya berlaku (julang kejuaraan) pada akhir tahun ini, ianya sudah tentu sebagai pencapaian yang menakjubkan dan itulah yang kami mahukan, ya?

“Tetapi jika kami menamatkan saingan di tangga kedua, saya fikir kami masih mempunyai musim yang hebat. Pada akhirnya, ia bukanlah segalanya untuk mengubah hidup saya.

“Saya gembira dengan apa yang saya buat sekarang dan yakin ianya sangat penting. Bagi saya, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan,” ujar Verstappen.

Verstappen mencatat empat kemenangan dalam lima perlumbaan awal, dan hanya terlepas ketika aksi di Azerbaijan kepada rakan sepasukan Sergio Perez selepas tayarnya mengalami masalah ketika cuba merebut kemenangan.

Verstappen bersama rakan sepasukannya, Perez (kiri).

Kini Verstappen fokus mengambil alih kedudukan teratas dan sekaligus mencatat kemenangan kelapan musim ini (jika menang di Turki).

“Saya akui rakan sepasukan juga telah melakukan yang terbaik dan kami penuh komited untuk sukses bersama tetapi anda tidak boleh paksa perkara ini.

“Apa yang penting, kami perlu bekerja dengan baik dan berusaha bersama dan kita akan temui jawapan pada penghujung musim. Sama ada di tempat pertama? Kedua? Kami tidak tahu,” jelas pelumba Belanda ini.

Perlumbaan F1 masih berbaki enam pusingan selepas di Turki minggu ini yang menyaksikan Litar Yas Marina pada 10-12 Disember depan bakal menjadi medan terakhir dalam kalendar perlumbaan musim ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: