Bola Sepak

Nasib NFDP jadi tanda tanya… benarkah ada ‘lobi’ tutup program?

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Oleh : SUBKHI SUDARJI

ADAKAH Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang sebelum ini dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam usaha membentuk pembangunan bola sepak akar umbi bakal beralih tangan kepada pihak lain.

Itulah persoalan yang timbul selepas agenda ini disuarakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Wisma FAM di Kelana Jaya, 2 September lalu.

Difahamkan menerusi perjumpaan tersebut, pihak terbabit menyuarakan keinginan untuk mengendalikan serta menyelaraskan program NFDP.

“Agenda ini dinyatakan dalam perjumpaan tersebut dan Ahmad Faizal mengambil maklum perkara tersebut.

“Juga dikhabarkan pihak berkenaan akan menarik sokongan terhadap program NFDP ini sekiranya hasrat tersebut tidak tercapai,” jelas sumber terbabit.

Pada 2 September lalu, selepas dilantik selaku Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Ahmad Faizal telah membuat lawatan kerja ke Wisma FAM di Kelana Jaya disambut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan dua timbalan presiden, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi serta Datuk S. Sivasundaram.

Sepanjang pertemuan itu, Hamidin melakukan pembentangan dengan menyentuh visi dan misi FAM menerusi Peta Hala Tuju F:30, aspek kerjasama dua hala dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara, projek pembinaan pusat latihan kebangsaan (NTC) dan perancangan ibu pejabat baharu FAM di Putrajaya.

Turut hadir dalam taklimat itu ialah Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dan Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee.

Sementara itu, menerusi perkongsian Twitter, Youth Football Malaysia yang dipaparkan pada Jumaat lalu, mereka bersedia mengistiharkan perang besar-besaran kepada individu yang cuba memastikan program NFDP ditutup.

“Kepada individu-individu  yang masih melobi tak henti-henti untuk tutup program @NFDPOfficial, Kalau masih tak berhenti buat kerja bodoh ni, kami dan ribuan pemain, jurulatih serta pendokong2 pembangunan bola sepak remaja akan isytihar PERANG BESAR BESARAN! “, tulis ciapan tersebut.

Untuk rekod  NFDP mula dilancarkan pada 2011 menerusi cetusan idea bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mengkhususkan kepada pembangunan bola sepak dari akar umbi dengan sasaran beraksi dalam Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) pada 2019.

Visi NFDP adalah untuk melahirkan ramai pemain bola sepak bertaraf dunia secara konsisten berteraskan misi untuk mewujudkan satu ekosistem pembangunan bola sepak yang sistematik dan menyeluruh ke arah meningkatkan kuantiti serta kualiti pemain bola sepak negara.

Berpaksikan lima teras strategik, ia adalah satu program jangka panjang yang akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa satu bermula dari 2014 hingga 2020 sementara fasa kedua yang juga adalah fasa lanjutan akan bermula pada 2021 hingga 2030.

NFDP kini mempunyai lebih 25,000 pelatih berusia tujuh hingga 17 tahun yang menjalani latihan di pusat NFDP seluruh negara yang dibantu lebih 1,000 jurulatih termasuklah pelatih elit di Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: