
PETINJU negara, Adli Hafidz Mohd Fauzi sedia mencipta kejutan dalam perebutan Kejuaraan UBO Inter-Continental 2021 di Jakarta, minggu depan.
Adli yang merupakan pemenang pingat perak kategori light heavyweight 81 kilogram (kg) pada Sukan Sea 2017 ini bakal berdepan dengan pencabar sengit tuan rumah, Robert Kopa dengan rekod 14-9-0 bagi merebut kejuaraan berkenaan.
Memetik laporan Harian Metro, Adli yang digelar ‘Goldenboy’ memberitahu dia sudah berada di Jakarta dan menjalani kuarantin selama lapan hari sebelum menentang Kopa.

Bagi berdepan dengan cabaran ini, atlet kelahiran Johor Bahru ini berkongsi bahawa segala persiapan rapi sudah dibuat walaupun berdepan dengan kekangan berikutan pandemik Covid-19.
Jelas bekas juara WBC Asia Silver dan WBA Asia South ini, dia perlu menang pertarungan itu nanti bagi mengumpul mata dan peluang beraksi pada Kejuaraan Dunia Pertubuhan Tinju Antarabangsa (UBO) yang akan diadakan tahun hadapan.
Tambah Adli, kategori yang baharu disertai ini diharap dapat memberi kelebihan dan mencipta kejutan biarpun sedar Kopa mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa.
Add Comment