Lain-Lain

Sembilan ‘U-Olimpian’ terima insentif KPT, 4 atlet terima biasiswa


Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad.

SERAMAI sembilan orang atlet Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang merupakan pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) menerima insentif dan empat daripadanya menerima biasiswa sebagai penghargaan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada Jumaat.

Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad memberitahu, KPT amat berbangga kerana antara atlet yang mewakili Malaysia ke temasya sukan terbesar dunia tersebut, turut ada sembilan orang atlet IPT.

“Sesungguhnya, bukanlah perkara yang mudah bagi seorang atlet yang sedang menuntut ilmu di menara gading untuk berjaya dalam sukan sehingga ke peringkat tertinggi ini.

Noraini menyerahkan insentif kepada Farah Ann.

“Justeru, sebagai menghargai komitmen ini, KPT buat julung kalinya menerbitkan dokumentari khas yang disiarkan di saluran Sukan RTM, 111 MyFreeview sepanjang Julai 2021 yang lalu.

“Dokumentari lapan episod ini merupakan rakaman perjalanan yang dilalui oleh sembilan atlet IPT sehingga berjaya beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2021

“Lakaran kecemerlangan yang dicapai oleh para U-Olimpian kita semasa Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang lepas adalah amat membanggakan, bukan sahaja Kementerian dan IPT, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

“Yang lebih membanggakan adalah apabila U-Olimpian kita, Nur Dhabitah Sabri, dari sukan terjun tampil antara atlet yang paling cemerlang. Kejayaan Nur Dhabitah menduduki tempat ke-4 dalam acara akhir 3 Meter Papan Anjal Wanita dengan catatan pungutan mata keseluruhan terbaik peribadi sememangnya satu kemegahan kepada kita semua

“Terdapat dua orang lagi atlet IPT yang telah berjaya mengatasi catatan peribadi terbaik dalam acara masing-masing di Tokyo, iaitu Syaqiera Mashayik dalam acara memanah recurve dan Azreen Nabila Alias dalam acara 100 Meter Pecut Wanita. Tahniah juga kepada Leong Mun Yee yang telah beraksi lima kali berturut-turut di Sukan Olimpik. Semoga prestasi hebat ini akan menjadi pendorong kepada mereka yang menyertai Olimpik buat kali pertama tempoh hari.

Azreen Nabila antara penerima Biasiswa YB Menteri Pengajian Tinggi-Atlet Cemerlang IPT.

“Kepada yang lain, Khairul Nizam Affendy; Farah Ann Abdul Hadi; Welson Sim; Wendy Ng Yan Yee; dan Juni Karimah Nur Jamali, syabas kerana telah berjaya mencipta pencapaian peribadi terbaik dalam sukan masing-masing

“KPT berbesar hati menyerahkan insentif sebanyak RM5,000.00 seorang sebagai mengiktiraf pencapaian gemilang U-Olimpian sekalian. Jumlah 3,000.00 akan diberikan dalam bentuk tunai dan RM2,000.00 lagi dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Sebagai tanda terima kasih dan penghargaan juga, KPT turut menerbitkan biografi bertajuk ‘U-Olimpian: Dari Menara Gading ke Olimpik Tokyo’,” ucapnya ketika Majlis Apresiasi dan Penghargaan U-Olimpian pada Jumaat.

Enam atlet Olimpik hadir menerima insentif daripada KPT pada Jumaat.

Dalam pada itu, Noraini turut menyerahkan tawaran Biasiswa YB Menteri Pengajian Tinggi-Atlet Cemerlang IPT kepada empat orang U-Olimpian yang berjaya terpilih sebagai penerima biasiswa ini bagi tahun 2021.

“U-Olimpian yang dimaksudkan ialah Syaqiera Mashayik, Azreen Nabila Alias, Welson Sim dan Juni Karimah Noor Jamali.

“Menjadi harapan saya agar kejayaan yang dikecapi oleh para U-Olimpian ini akan menjadikan semua atlet di IPT terus cemerlang dan ‘outstanding’.”


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading