Lain-Lain

Bekas Ketua Pengarah MSN Zolkples Embong meninggal dunia

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

DIKEMASKINI

BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong dilaporkan meninggal dunia di rumahnya pagi Ahad.

Difahamkan arwah menghembuskan nafas terakhirnya bersendirian di rumahnya di Pandan Indah.

Kematian arwah disedari beberapa pegawai MSN yang cuba menghubunginya sejak Jumaat lalu apabila mendapati beliau tidak hadir solat Jumaat di Vista MSN, Bukit Jalil.

Ekoran gagal menghubunginya, beberapa pegawai MSN telah pergi ke rumahnya pagi ini dan didapati rumah berkunci.

Menurut sumber, pihak polis dan bomba telah dihubungi dan selepas berjaya membuka pintu rumah, arwah dilihat terbaring di ruang dapur rumahnya.

“Punca kematian masih belum diketahui dan jenazah akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur,” jelas sumber tersebut.

Terkini, menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, Zolkples yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sukan SEA 2017  meninggal dunia akibat sakit jantung.

“Arwah tinggal seorang diri di rumah dan tidak pernah berkahwin. Waris yang terdekat membuat laporan merupakan anak saudara kepada arwah.

“Menurut keluarga, arwah pernah membuat pembedahan jantung kira kira 10 tahun yang lepas dan tidak pernah membuat sebarang rawatan susulan selepas itu. Menurut keluarganya lagi,  kali terakhir  arwah membuat ujian swab Covid-19 adalah pada Jumaat lepas  (1 Oktober 2021) dan berkeputusan negatif Covid 19.

“Pemeriksaan di tempat kejadian dan pada tubuh badan si mati tidak menjumpai sebarang unsur jenayah. Tiada sebarang kesan pecah masuk atau pergelutan ditemui di tempat kejadian,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media.

Sementara itu, pengurusan MSN akan membawa jenazah ke Masjid Sri Petaling untuk urusan mandi, kafan dan sembahyang jenazah sebelum dibawa pulang ke Kampung Sura Dungun, Terengganu untuk urusan pengebumian.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: