Bola Sepak

Piala Malaysia: Sri Pahang jadi ‘mangsa’ kedua Sarawak United


Aksi pemain Sarawak United dan Sri Pahang pada aksi kedua Piala Malaysia malam ini. Foto: RAJA MUNAWIR

Oleh: JJFIRDAUS

SARAWAK United FC cemerlang membenam cabaran Sri Pahang FC apabila mencatat kemenangan 1-0 sekaligus meraih mata penuh kedua dalam kempen Piala Malaysia 2021.

Pengendali Sarawak United, E.Elavarasan mengekalkan kesebelasan utama yang berjaya mencatat kemenangan keatas Pulau Pinang pada perlawanan pertama dan dilihat gah mengawal perlawanan.

Sri Pahang pula membuat dua pertukaran dengan menggugurkan penjaga gol, Helmi Eliza dan Malik Mat Arif dan digantikan dengan Zarif Irfan dan Nicolas Swirad yang beraksi cemerlang malam ini.

Beberapa percubaan berbahaya berjaya dicipta Sri Pahang hasil sepakan percuma tetapi tendangan Azam Azih melewati palang manakala tandukan Kenjok Athiu pula tersasar di sebelah kanan gawang Sarawak United.

Pemain-pemain Sarawak United FC meraikan kemenangan ke atas Sri Pahang. Foto: RAJA MUNAWIR

Sarawak United sesekali cuba untuk memecah benteng Tok Gajah menerusi Sandro Da Silva dan Uche Agba tetapi buntu untuk keputusan separuh masa pertama kekal tanpa jaringan.

Skuad Dollah Salleh dilihat lebih berbisa pada separuh masa kedua tetapi Baqiuddin Shamsudin terlepas dua peluang keemasan untuk meletakkan Sri Pahang di hadapan.

Tommy Mawat Bada berjaya menggegar gawang Sri Pahang pada minit ke-61 selepas menyempurnakan hantaran yang bermula dari Uche Agba yang menghantar kepada Sandro dan kemudiannya melorongkan kepada Tommy untuk gol pertama Sarawak United.

Gol tunggal itu sudah cukup untuk memberikan kemenangan buat Sarawak United sekaligus kemenangan kedua dalam kempen Piala Malaysia dan kini mendahului kedudukan bagi Kumpulan A dengan enam mata.

Dengan kekalahan ini juga, Sri Pahang kekal di tangga terbawah tanpa sebarang mata dan kini perlu berbuat sesuatu untuk memastikan peluang layak ke suku akhir kembali cerah.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading