Bola Sepak

Piala Malaysia: JDT, KDA FC tepati sasaran awal


JDT meraikan kemenangan ke atas Kelantan FC pada aksi pertama Piala Malaysia 2021. Foto: JDT

 

Oleh: JJFIRDAUS

JOHOR  Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC menepati ramalan awal apabila berjaya memenangi perlawanan pembukaan TM Piala Malaysia dalam aksi di Iskandar Puteri dan Alor Star.

JDT berjaya membenam cabaran berani Kelantan FC dengan kemenangan 2-0 hasil jaringan penalti Bergson Da Silva pada minit ke-30 dan juga Safawi Rasid pada minit ke-49 sekaligus meletakkan JDT mendahului Kumpulan D.

Di Alor Star, dua jaringan Syazwan Zainon pada setiap babak dan satu jaringan Tchetche Kipre memastikan Kedah berjaya mengungguli Kumpulan C dengan kemenangan 3-0 ke atas Kelantan United.

Pemain Kedah Darul Aman FC cuba menghalang pemain Kelantan United pada aksi pertama Piala Malaysia di Alor Star, Isnin malam.

 

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, PJ City berjaya menafikan kemenangan Sabah apabila jaringan Darren Lok berjaya mengikat keputusan 1-1 selepas Sabah meledak terlebih awal hasil gol cantik Park Tae Su pada separuh masa pertama.

Aksi di Melaka menyaksikan perlawanan tertangguh seketika selepas 12 minit ekoran keadaan cuaca yang kurang baik dengan Melaka United berjaya mengekang asakan Negeri Sembilan untuk menang dengan keputusan 2-0.

Gol menerusi Adriano dan S.Kumaahran sudah cukup untuk memberikan tiga mata buat Melaka sekaligus memberi tekanan kepada Kedah dalam Kumpulan C dengan hanya dibezakan oleh jumlah jaringan.

Selepas tamat perlawanan pertama peringkat kumpulan, majoriti pasukan pilihan berjaya mencipta keputusan positif dan kini mendahului kumpulan masing-masing.

 

Perlawanan seterusnya akan berlangsung pada pertengahan minggu ini dengan JDT bakal bertemu PJ City di Iskandar Puteri manakala Kelantan menyambut kedatangan Sabah untuk aksi Kumpulan D.

Dalam Kumpulan C pula, Kedah menerima kunjungan Melaka United dan Kelantan United akan berhadapan dengan Negeri Sembilan dan pastinya lebih banyak aksi menarik akan disajikan oleh kesemua pasukan yang bertanding.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading