
DANIEL Maldini berada dalam barisan utama skuad Milan ketika aksi bertemu Spezia.
Penampilan tersebut menyaksikan Daniel meneruskan tradisi keluarganya yang beraksi untuk kelab Merah Hitam ini.
Pengurus Milan Stefano Pioli memilih pemain berusia 19 tahun itu berada di bahagian serangan tengah di belakang Oliver Giroud ketika Rossoneri berkunjung ke Spezia.
Daniel merekodkan penampilan ketiga dalam aksi Serie A musim ini dan kali pertama sebagai pemain utama dalam kariernya.
Daniel merupakan anak kedua kepada bekas pertahanan legenda Rossoneri dan Itali Paolo Maldini yang kini bertugas sebagai Pengarah Teknikal di kelab ini.

Seperti bapanya juga, Daniel merupakan produk Akademi Milan dan membuat debut bersama pasukan senior pada Februari 2020 ketika Milan mencatat seri 1-1 bertemu Hellas Verona.
Oktober tahun lalu, Daniel memulakan aksi senior pertama ketika aksi play-off Liga Europa bertemua Rio Ave dan secara keseluruhan pemain muda ini telah merakam 14 aksi bersama skuad utama setakat ini.
Dia kini diharap akan menerusi legasi datuk (Cesare) dan bapanya, yang kedua-duanya merupakan legenda kelab.
Apa yang membezakan antara Daniel dengan Cesare dan Paolo adalah dia bermain sebagai penyerang, manakala bapa dan datuknya di bahagian pertahanan.

Cesare menyertai Rossoneri dari Triestina pada 1954 dan mengumpul 412 aksi bersama Milan.
Dia merangkul empat trofi Serie A, satu trofi Coppa Italia, Piala Juara-Juara Uefa dan Piala European (kini Liga Juara-Juara).
Selepas bersara sebagai pemain, Cesare melatih pasukan Itali dan berjaya memasuki suku akhir Piala Dunia 1998.
Cesare meninggal dunia pada 3 April 2016 pada usia 84 tahun.

Manakala Paolo pula dikenali sebagai pertahanan terbaik dalam sejarah kelab. Dia menghabiskan kariernya bersama Milan dengan rekod 902 perlawanan untuk kelab gergasi Serie A ini, dan 126 aksi bersama Azzurri.
Sepanjang bersama Milan, Paolo berjaya merangkul lima kali trofi Liga Juara-Juara, tujuh kali juara Serie A, lima kali trofi Piala Super Uefa dan lima kali Piala Super Itali.
Pada Ogos 2018, Paolo dilantik sebagai Pengarah Teknikal Milan dengan membawa Rossoneri kembali ke aksi Liga Juara-Juara untuk pertama kali dalam tempoh lapan tahun.
Add Comment