Bola Sepak Komentar

Fandi Ahmad antara nama yang tak pernah padam dalam kisah Piala Malaysia.. apakah rekod yang dipegangnya?

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Laporan perlawanan akhir Piala Malaysia 1979, Berita Harian (Koleksi peribadi penulis).

Oleh: MOHD FARIQ

ESOK (26 September 2021) secara rasmi tirai TM Piala Malaysia dibuka sekali gus menandakan kalendar Liga Malaysia telah memasuki babak-babak akhir musim.

Kelantan United menjadi pasukan terakhir yang mengesahkan slot TM Piala Malaysia selepas mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Kuching City dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, semalam.

Kempen TM Piala Malaysia menyaksikan Kumpulan A terdiri daripada Penang FC, Kuala Lumpur City FC, Sri Pahang FC dan Sarawak United FC disusuli Kumpulan B; Terengganu FC, Selangor FC, Perak FC, Kuching City FC, Kumpulan C; Kedah Darul Aman FC, Melaka United, Negeri Sembilan FC, Kelantan United FC dan Kumpulan D; Johor Darul Ta’zim, PJ City FC, Sabah FC dan Kelantan FC.

Bagi penulis, kejohanan TM Piala Malaysia sentiasa menjadi klimaks kepada penyokong-penyokong bola sepak tempatan sebagai trofi ini antara piala signifikasi penting di dalam Liga Malaysia.

Sepanjang perjalanan penulis sebagai sebagai peminat sehingga menjadi wartawan bola bermula dari 1980 sehingga sekarang, penulis buat masa ini masih belum tidak pernah terlepas satu pun menyaksikan aksi final Piala Malaysia di stadium.

Ini kerana Piala Malaysia adalah salah satu kejohanan cukup istimewa atau mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan acara ini memiliki ribuan momen-momen tersirat sejak ia mula dipertandingkan bermula 1921.

Justeru, tahun ini kita semua sedang menyaksikan kejohanan paling tertua di Asia Tenggara ini bakal menyambut ulang tahun ke-100.

Pertama penulis berasa bersyukur kerana dapat berada di dalam lipatan sejarah Piala Malaysia dan sudah pasti penulis tidak mahu terlepas aksi final pada tahun ini.

Jadi, penulis tidak keberatan untuk berkongsi beberapa kenangan penulis sepanjang membuat liputan dan berikut adalah momen-momen epik sepanjang turun di pentas final Piala Malaysia.

FANDI AHMAD CATAT SEJARAH SEBAGAI PEMAIN TERMUDA DALAM FINAL PIALA MALAYSIA

Jika mahu bercakap mengenai bahang final Piala Malaysia maka pertembungan Selangor dan Singapura pada tahun 1979 antara salah satu aksi kegemaran buat penulis.

Ini kerana ketika itu orang ramai ingin melihat persembahan wonderkid Singapura, Fandi Ahmad.

Dalam aksi final yang berlangsung pada 16 Jun 1979, Fandi memegang rekod sebagai pemain termuda yang beraksi dalam kesebelasan utama dalam final Piala Malaysia ketika berusia 17 tahun 21 hari.

Fokus tumpuan diberikan kepada permainan Fandi ketika itu tetapi rezeki tidak memihak kepadanya apabila perlawanan tersebut dimenangi Selangor 2-0 di Stadium Merdeka dengan penuh kontroversi.

Fandi (dijulang) pemain termuda yang beraksi di pentas akhir Piala Malaysia pada 1979.

Lebih mendukacitakan Fandi dikatakan telah mengeluarkan bola di tengah-tengah garisan tetapi pengadil perlawanan mengesahkan bola tersebut disahkan gol.

Selangor keluar daripada venue tersebut sebagai pemenang tetapi Fandi tetap berjaya memberikan satu persembahan yang menarik dalam siri final Piala Malaysia itu sekali gus menjadi perlawanan epik dan mengangkat nama sebagai pemain paling berbakat dalam sejarah bola sepak Singapura.

ERVIN BOBAN CATAT PEMAIN IMPORT PERTAMA LAKAR HATRIK DALAM PIALA MALAYSIA

Pada tahun 1991, Ervin Boban mencatatkan sejarah tersendiri dalam kejohanan Piala Malaysia apabila muncul sebagai pemain import pertama melakarkan hatrik ketika menewaskan pasukan paling berjaya di dalam kejohanan ini, Selangor dengan keputusan 3-1.

Ketika itu penulis dapat mengingati dengan jelas bahang yang menemukan Johor dan Selangor semakin dirasai.

Masakan tidak seawal pukul 4 petang, orang ramai sudah sesak di Stadium Merdeka dan sedikit mereka tidak berganjak biarpun hujan lebat datang melanda di sebelah petang.

Laporan Piala Malaysia 1991. (Koleksi peribadi penulis)

Ketika itu Selangor menjadi pasukan pilihan tetapi Boban membuktikan sebaliknya biarpun bermain di atas padang becak, penyerang kelahiran Croatia itu tetap berjaya menjaringkan tiga gol dan membantu Johor menjulang trofi Piala Malaysia buat kali pertama.

Satu lagi perlawanan cukup epik berlaku di dalam sejarah Piala Malaysia!

DERBI BORNEO PERNAH BERLAKU DALAM FINAL PIALA MALAYSIA

Stadium Merdeka juga menjadi saksi pertama kali rekod Brunei memenangi Piala Malaysia iaitu pada tahun 1999 dengan mengalahkan Sarawak dan ia juga merupakan pertembungan Borneo pertama dalam kempen Piala Malaysia.

Dalam aksi ini, Brunei telah berjaya menundukkan Sarawak 2-1 sekali gus menjadi Brunei muncul sebagai satu-satunya pasukan dari Borneo yang menjulang trofi Piala Malaysia.

Sebenarnya ada banyak kenangan, fakta atau rekod-rekod unik telah berlaku dalam kempen Piala Malaysia dan penulis memiliki kesempatan yang pendek untuk berkongsi beberapa kisah sepanjang penulis turun padang dalam kejohanan ini.

Apa yang pasti, penulis optimis bahawa penyokong-penyokong termasuk penulis sendiri mahu melihat lebih banyak rekod baharu tercipta sempena ulang tahun ke-100 Piala Malaysia pada tahun ini.

Laporan Piala Malaysia 1991, Brunei lawan Sarawak. (Koleksi peribadi penulis).

Ini kerana selain kita disajikan perlawanan 90 minit, peminat-peminat juga ingin mengetahui beberapa fakta menarik sekali gus menambahkan lagi nilai sentimen Piala Malaysia yang sudah menjadi acara yang ditunggu-tunggu pada akhir musim ini.

Cuma penulis sedikit kesal apabila pihak kerajaan masih belum membuat keputusan untuk membenarkan kemasukan penonton sebagaimana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan semalam bahawa permohonan Malaysian Football League (MFL) ditangguhkan seketika.

Agak pelik kerana pihak kerajaan telah membuka banyak sektor termasuk membenarkan aktiviti sukan fizikal kontak tetapi masih dilihat ragu-ragu untuk membenarkan kehadiran penonton di venue.

Harapan penulis kepada pihak kerajaan agar dapat pertimbangkan permohonan untuk membawa penonton masuk ke stadium pada tahun ini.

Ini kerana tahun ini menjadi ulangtahun ke-100 Piala Malaysia dan penyokong-penyokong sudah pasti tidak mahu terlepas peluang untuk berada di dalam lipatan sejarah kejohanan ini.

Akhir kata daripada penulis, bola sepak adalah sukan rakyat dan Liga Malaysia adalah rumah kita.

Jangan lupa esok masih ada lagi kisah-kisah menarik Piala Malaysia yang bakal dikongsi…


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: