Bola Sepak Komentar

Piala Malaysia: Momen paling ‘mahal’ pemain tiba di venue naik helikopter

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Oleh MOHD FARIQ

SEPANJANG penulis membuat liputan kempen Piala Malaysia sejak 90-an, boleh dikatakan cukup banyak momen-momen menarik telah berlaku dalam kancah bola sepak tempatan.

Namun masih ingatkah kita kepada penyerang Selangor MPPJ, Haris Safwan Kamal?

Mungkin segelintir penyokong-penyokong belum kenal siapakah sosok pemain ini tetapi sejujurnya inilah nama yang sentiasa dingiang di fikiran penulis saban tahun kempen TM Piala Malaysia bermula.

Selalunya sebaik tirai Piala Malaysia dibuka, kebanyakan orang lebih berminat bercakap mengenai pasukan manakah yang paling cemerlang dalam kejohanan paling tertua di Asia ini.

Koleksi peribadi penulis laporan mengenai Haris Safwan koleksi penulis.

Ini kerana TM Piala Malaysia sentiasa hangat menjadi bahan bualan peminat-peminat apabila kejohanan ini adalah penutup bagi kalendar Liga Malaysia.

Benar tidak dapat dinafikan betapa banyak kenangan, insiden serta memori baik dan buruk tetapi secara peribadi, insiden membabitkan Haris dalam kempen Piala Malaysia adalah satu kejadian yang jarang berlaku di dalam bola sepak tempatan.

Haris sekarang menikmati karier tahun kedua sebagai jurulatih akademi Pulau Pinang FC dan beliau memiliki Ijazah dalam Sains Sukan.

Namun bagi yang mengetahui kenapa nama Haris memberikan impak besar kepada penulis, penulis ingin mengucapkan tahniah kerana anda sememangnya ‘orang lama’ dalam liga tempatan kita.

Koleksi peribadi penulis laporan Piala Malaysia Selangor MPPJ separuh akhir dan akhir 2003.

Kepada yang masih buntu dan tidak mengerti apa yang penulis maksudkan, usah khuatir kerana penulis mahu berkongsi satu kisah yang menjadi epik dalam sejarah Piala Malaysia yang berlaku kepada pemain kelahiran Terengganu ini.

KISAH VIRAL HARIS DAN HELIKOPTER

Kira-kira 18 tahun lalu, Haris menjadi salah seorang watak penting di dalam skuad kendalian Dollah Salleh ketika membimbing Selangor MPPJ dalam kempen Piala Malaysia.

Selangor MPPJ layak ke pusingan separuh akhir bertemu Perlis di mana mereka berjaya merakamkan kemenangan 3-1 pada aksi pertama di mana mereka perlu bertandang ke Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar bagi melengkapkan perlawanan timbal balik.

Harris ketika itu berusia 20 tahun dan sedang menjalani pengajian Sains Sukan di Universiti Malaya (UM) telah memohon untuk menduduki peperiksaan di Kangar tetapi malangnya permintaan beliau ditolak.

Ketika itu Dollah agak resah dan tidak rela kehilangan khidmat Harris dalam aksi separuh akhir kedua bertemu Perlis dan situasi yang dihadapi Haris jelas tidak memihak kepada Selangor MPPJ.

Haris memiliki dua pilihan; pertama melalui pemanduan dari UM ke Kangar di mana ia akan mengambil masa sekitar lima jam buat beliau tiba di destinasi manakala pilihan kedua adalah menaiki pesawat tetapi ia akan mendarat di Lapangan Terbang Alor Setar, Kedah yang juga mengambil masa agak lama.

Koleksi peribadi penulis mengenai laporan Piala Malaysia Selangor MPPJ separuh akhir dan akhir 2003.

Namun apa tindakan Selangor MPPJ ketika itu amat mengejutkan ramai pihak apabila mereka memilih ‘pilihan ketiga’ dengan menyewa helikopter khas untuk menerbangkan Haris dari Petaling Jaya terus ke Kangar.

Keputusan itu dapat direalisasikan selepas rakan kongsi kepada Selangor MPPJ, S Siva telah bersetuju untuk menaja kos helikopter khas tersebut demi memastikan Haris dapat bersama pasukan.

Koleksi peribadi penulis mengenai laporan Piala Malaysia Selangor MPPJ separuh akhir dan akhir 2003.

Haris tanpa toleh ke belakang bertolak menyertai pasukannya selepas selesai menduduki peperiksaan akhir semesta pertama dan tiba pukul 3 petang di Kangar sebelum aksi separuh akhir kedua menentang Perlis.

Dalam aksi itu, Selangor MPPJ mencatatkan keputusan seri 1-1 dan layak ke pentas final sebelum mereka mencipta sejarah sebagai kelab pertama layak ke perlawanan akhir serta memenangi pada 2003 dalam sejarah Piala Malaysia hasil hatrik Juan Manuel Arostegui yang meledak 50 gol pada musim itu dengan menewaskan Sabah 3-0.

Namun kejayaan menarik Selangor MPPJ menjulang Piala Malaysia, momen Haris diterbangkan itu tetap menjadi satu sejarah unik dalam kempen Piala Malaysia sejak diadakan pada 1921 di mana beliau menjadi satu-satu pemainnya yang tiba ke lokasi perlawanan melalui helikopter.

ELEMEN UNTOLD STORY PERLU DIPERBANYAKKAN DALAM ULANGTAHUN KE-100 PIALA MALAYSIA

Sebenarnya mungkin kisah Haris yang mengegar satu Malaya dahulu telah memberikan impak bukan sahaja jenama serta reputasi pemain bola sepak tetapi nilai sentimen kepada sukan ini.

Apatah lagi tahun ini kita semua bakal menyambut ulangtahun ke-100 Piala Malaysia dan sudah pasti kita sebagai penyokong mahukan kisah-kisah menarik seperti cerita Haris banyak berlaku di dalam dunia bola sepak kita.

Koleksi peribadi penulis mengenai laporan Piala Malaysia Selangor MPPJ separuh akhir dan akhir 2003.

Malah Haris sendiri memberitahu kepada penulis: “Pengalaman menaiki helikopter itu merupakan kenangan paling manis sepanjang karier saya dalam sukan bola sepak. Sejujurnya hanya tuhan sahaja tahu betapa takutnya saya hendak menaiki helikopter tersebut tetapi demi Selangor MPPJ, saya memberanikan diri dan akhirnya inilah kenangan paling epik saya.”

Penulis memahami zaman kini penyokong-penyokong sedang menikmati infografik atau statistik selain menonton perlawanan bagi memuaskan halwa masing-masing.

Namun secara peribadi buat penulis, kisah-kisah yang tidak pernah diungkapkan dalam mana-mana media juga perlu diberikan perhatian kerana secara tidak langsung ia bukan sahaja mengajak orang menikmati bola sepak tetapi ia juga membuatkan penyokong lebih faham bahawa pemain juga merupakan insan biasa sama seperti kita.

Koleksi peribadi penulis mengenai laporan Piala Malaysia Selangor MPPJ separuh akhir dan akhir 2003.

Seperti biasa dalam lumrah kehidupan, ada pasang dan surut dalam mana-mana kisah tetapi tanpa gambaran sebenar, agak sukar untuk kita mendidik generasi muda supaya datang menyokong liga tempatan kita.

Mungkin ada kisah yang lebih viral daripada insiden Haris? Siapa tahu dan penulis berharap pasukan-pasukan juga terbuka untuk berkongsi beberapa kisah menarik kepada peminat.

Bukan apa, penulis percaya bahawa setiap pasukan memiliki potensi cerita yang menarik untuk dikongsikan kepada umum supaya membuat kita semua semakin sayang terhadap industri bola sepak tempatan.

Akhir kata daripada penulis, cukup-cukuplah kisah tak bayar gaji, rehatkan jurulatih atau cerita yang tidak memberikan manfaat kepada penyokong bola sepak kita.

Siri kedua Piala Malaysia lebih menarik esok…


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: