Permotoran

TBPR bukanlah pasukan hingusan


Harith Farhan menduduki tempat ketiga pada saingan Pusingan 3, Sabtu lalu yang mengejutkan pelumba lain.

TUNE Boss Pink Racing (TBPR) mungkin gagal untuk menutup kempen pada kejuaraan Cub Prix Malaysia dengan kejutan namun disebalik kegagalan itu, mereka tetap melangkah bergaya meninggalkan Litar Sepang Utara yang telah mengukir momen terindah buat TBPR minggu ini.

Dua skrip berbeza telah mereka lalui minggu ini ketika mengharungi saingan Pusingan 3 dan 4 kejuaraan Cub Prix Malaysia – pertamanya, TBPR berhasil mencipta kejutan selepas meraih kedudukan podium sulung semalam (Pusingan 3) dan keduanya mengalami detik duka apabila dua pelumbanya terjatuh ketika mengharungi perlumbaan akhir kelas CP125 pada Pusingan 4.

Begitupun, sebagai pendatang baharu dalam kejuaraan tersebut, TBPR wajar dijulang sebagai wira atas kemampuan mereka meraih kemenangan podium, sekali gus mengatasi cabaran daripada barisan pencabar mereka yang lebih berpengalaman.

Semalam, nasib mungkin tidak menyebelahi mereka selepas dua pelumbanya, Mohd Harith Farhan Baharin dan Siti Norafizah Mohamad atau Fifi terjatuh ketika perlumbaan akhir kelas CP125 itu baharu memasuki lap kedua.

Dalam perlumbaan, insiden seperti itu memang sering berlaku kepada mana-mana pelumba terutamanya ketika keadaan litar basah dan licin.

Insiden tersebut sudah pasti mengecewakan dua pelumba tersebut terutamanya Harith Farhan yang menanam tekad untuk mengulangi penyudah podium yang dilakarnya sehari sebelum ketika mengharungi saingan Pusingan 3.

Nur Atikah Azwar (kiri) yang merupakan pemilik TBPR yakin pasukannya kini sedang melalui satu proses untuk menjadi pencabar terkuat di Cub Prix.

 

Penyudahnya, TBPR meninggalkan Litar Sepang Utara dengan menggengam sebuah trofi menerusi kemenangan Harith Farhan yang menduduki tempat ketiga pada saingan Pusingan 3, Sabtu dan ia dilihat sebagai pembuka langkah buat mereka untuk terus melakar kejutan dalam pusingan seterusnya.

Pencapaian Saiful pada penampilan pertamanya dengan TBPR hari ini juga memberi mesej positif buat pasukan yang dimiliki Nur Atikah Azwar itu bahawa mereka kini sedang melalui satu proses untuk menjadi pencabar terkuat di Cub Prix.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading