Permotoran

Harith hadiahkan podium pertama buat TBPR

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Hafiza (tengah) mengungguli perlumbaan ditempat pertama diikuti Fareez (kiri) dan Harith ditangga ketiga.

PELUMBA pasukan Tune Boss Pink Racing (TBPR) Mohd Harith Farhan Baharin berjaya menjejak kaki di podium selepas menamatkan perlumbaan akhir kelas CP125 di tempat ketiga yang berlangsung di Litar Sepang Utara, hari ini.

Perlumbaan lapan pusingan sejauh 21.648 kilometer (km) itu telah berlangsung dalam hujan, namun ia tidak menjejaskan misi Harith untuk menghadiahkan podium pertama buat pasukannya yang baharu membuat penampilan pada kejuaraan Cub Prix musim ini.

Malah, dia telah beberapa kali memimpin perlumbaan tersebut sebelum berdepan masalah dengan tahap kelajuan jenteranya pada dua lap terakhir, namun pelumba asal Terengganu itu tetap berupaya mengawal keadaan dengan baik sehingga ke garis penamat.

Harith yang memulakan perlumbaan tersebut di petak ketiga, telah dipintas oleh dua pelumba, Md Hafiza Rofa (ONEXOX TKKR Racing Team) dan Md Fareez Afeez Abd Rahman (Ipone Yamaha YY Pang Racing Team) kira-kira 500 meter daripada garisan penamat, sekali gus meletakkannya di kedudukan ketiga dengan catatan masa 13:15.750 saat (s).

Perlumbaan tersebut dimenangi Hafiza dengan masa 13:15.56s manakala Fareez yang menghuni kedudukan kedua tiba di garisan penamat dengan catatan masa 13:15.644s.

Jelas Harith, dia sudah menjangka keadaan ini akan berlaku kerana jenteranya menghadapi masalah di dua lap terakhir.

“Saya tetap fokus dan cuba sedaya upaya untuk mempertahankan kedudukan dan alhamdulillah berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

“Syukur kerana beraya menghadiahkan sesuatu buat pasukan yang telah bekerja keras selama ini menyediakan jentera terbaik buat kami,” jelas Harith.

Walaupun gagal menjuarai perlumbaan tersebut, namun ia suatu kejayaan yang sangat bermakna buat Harith dan pasukannya kerana ia dianggap sebagai permulaan buat mereka untuk terus tampil dengan cengkaman yang lebih berbisa pada pusingan akan datang.

Sebagai pendatang baharu dan masih mentah dengan pengalaman, ia adalah suatu yang sangat berharga buat Tune Boss Pink Racing yang telah memasang impian besar dalam sukan permotoran tempatan.

Dua lagi pelumba TBPR yang bersaing dalam kelas CP125 iaitu Siti Norafizah Mohamad dan Saiful Azhary masing-masingnya menamatkan perlumbaan tersebut di kedudukan ke-19 dan 18.

Siti Norsyafiyah Alia Saarizan pula yang menggalas cabaran dalam kategori Wira sekadar menamatkan perlumbaan akhir kelas tersebut di kedudukan ke-16 dengan catatan masa 9:45.117s.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: