Permotoran

Saiful taruhan baharu TBPR

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Saiful mula membabitkan diri dalam sukan permotoran menerusi acara pocket bike.

 

PASUKAN Tune Boss Pink Racing (TBPR) terus mengorak langkah apabila membawa masuk pelumba baharu, Saiful Azhary dalam misi untuk mengukuhkan lagi cengkaman pasukan pada kejuaraan Cub Prix Malaysia musim ini.

Saiful, 21 tahun yang berasal dari Johor akan beraksi dalam kategori CP125 bersama-sama dua lagi pelumba sedia ada, Siti Norafizah Moahamd dan juga Mohd Harith Farhan Baharin.

Dengan kehadiran Saiful dalam pasukan TBPR, mereka kini mempunyai tiga pelumba bagi menggalas cabaran dalam kelas CP125, kategori yang baharu diperkenalkan musim ini bagi menggantikan kelas CP115.

Saiful yang merupakan adik kepada Norafizah atau Fifi, mula aktif dalam sukan permotoran pada tahun 2005 dengan pembabitan awalnya menjinakkan diri dengan pocket bike.

Dia telah beraksi dalam kejuaraan minibike itu sehingga tahun 2012 sebelum meneruskan kariernya ke kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Sepanjang pembabitannya dalam sukan permotoran, Saiful pernah muncul juara keseluruhan kategori Honda Future One Make Race pada musim 2014 selain bergelar naib juara keseluruhan kategori Wira pada tahun 2015.

Tegas pelumba kelahiran Johor itu menjelaskan bahawa matlamatnya adalah untuk mencari pengalaman baharu dalam kariernya.

“Semua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri tetapi keputusan untuk menyertai TBPR adalah disebabkan kemajuan yang telah dibuktikan oleh mereka. Walaupun pasukan ini baru, tetapi mereka telah menunjukkan konsistensi dalam setiap pusingan. Ini antara faktor yang menarik perhatian saya.

“Selain itu, gaya pengurusan pasukan ini juga amat teliti dalam segala hal,” jelas Saiful yang sudah mempunyai pengalaman tiga tahun beraksi dalam Cub Prix.

Minggu ini, TBPR akan kembali ke gelanggang bagi meneruskan saingan Pusingan 3 dan 4 kejuaraan Cub Prix Malaysia yang akan berlangsung di Litar Sepang Utara.

Kejuaraan ini ditangguhkan sejak Mei tahun ini ekoran situasi pandemik Covid-19 yang semakin memburuk di seluruh negara.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: