
EKSKLUSIF OLEH: MOHD FARIQ
PERNAH menyandang gelaran sebagai ‘Raja Malaya’ dalam geografi bola sepak Malaysia dengan membolot hampir semua trofi dalam kejohanan domestik.
Itulah karakter pasukan Selangor FC suatu ketika dahulu yang gah dibarisi legenda-legenda bola sepak tersohor negara antaranya ikon bola sepak Malaysia, Allaharyam Datuk Mokhtar Dahari, Abdul Ghani Minhat, Soh Chin Aun, Santokh Singh, R. Arumugam, Zainal Abidin Hassan dan ramai lagi.
Nama-nama yang disebutkan itu sudah mampu menghadirkan rasa gerun kepada pasukan lawan dan skuad Gergasi Merah jelas bukan skuad yang mahu ditentang oleh mana-mana pasukan ketika itu.
Namun zaman silih berganti aura Selangor dilihat semakin terhakis. Selangor era moden dilihat masih bergelut untuk mengulangi legasi cemerlang mereka.
Ini kerana kali terakhir mereka menjulang trofi Liga Super kira-kira sedekad lalu iaitu menjadi juara Liga Super edisi 2010 dan jelas ia memberikan satu petanda kurang baik kepada Selangor dilihat masih tidak konsisten untuk menempat diri di dalam kelompok tiga teratas liga sejak 2016 di mana mereka menduduki berada di kedudukan ketiga liga pada 2019.

Pencapaian terbaik di dalam kempen liga adalah muncul sebagai naib juara tiga tahun berturut-turut bermula 2013 tetapi semenjak itu Selangor bagaikan hilang taring.
Bagaimanapun, pemilik Selangor FC, Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj tidak mahu cepat melatah di sebalik prestasi kurang positif tersebut.
Ini kerana Tengku Amir optimis bahawa skuad Gergasi Merah memiliki potensi untuk mengulangi pencapaian hebat masa lalu berbekalkan perancangan dan strategi yang lebih jelas.
Ikuti temubual singkat CAKAP SUKAN, MOHD FARIQ bersama Tengku Amir Shah secara eksklusif dalam membincangkan prestasi semasa Selangor dalam kempen Liga Super musim ini serta perancangan masa depan dan misi skuad Gergasi Merah mengharungi kejohanan TM Piala Malaysia 2021.
CAKAP SUKAN : Pertama saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Tuanku di atas kesudian untuk meluangkan masa bagi sesi temuramah ini.
Apakah pandangan Tuanku melihat prestasi Selangor FC pada musim ini?
TENGKU AMIR SHAH : Terdapat pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh Kelab Bolasepak Selangor pada musim ini.
Bermula dari jadual liga yang tidak menentu, kepada kehilangan penyokong di stadium, gangguan latihan yang berterusan sehinggalah kegelisahan para pemain dan pegawai berkenaan keselamatan dan kesihatan mereka.
Berdasarkan persembahan pasukan Selangor dalam Liga Super, kedudukan tangga kelima adalah apa yang kami berhak dapat.
Sepanjang musim ini, terdapat beberapa detik di mana kita mempamerkan persembahan yang memberangsangkan, namun kegagalan untuk menjadi konsisten dalam setiap perlawanan adalah faktor utama kelemahan pada musim ini.
Pungutan mata di tempat sendiri terlalu rendah dan kecergasan pemain dalam beberapa perlawanan juga tidak berada pada tahap yang diinginkan.
CAKAP SUKAN : Sebenarnya apakah perancangan Tuanku untuk Selangor pada tahun 2021?
TENGKU AMIR SHAH : Pada tahun ini, saya lebih tertumpu kepada tingkah laku dan motivasi pemain serta bagaimana kita boleh terus memperbaiki kualiti latihan dan persiapan pasukan Selangor. Saya percaya segala proses yang dirancang sedang dijalankan secara berperingkat dan musim hadapan kita akan lebih bersedia dari wisel permulaan yang pertama lagi.
CAKAP SUKAN : Tuanku, kali terakhir Selangor memenangi Piala Malaysia pada tahun 2015 dan ia merupakan gelaran ke-33 secara keseluruhan.
Adakah Tuanku melihat Selangor memiliki potensi besar dalam kejohanan Piala Malaysia yang menyambut ulangtahun ke-100 pada tahun ini?
TENGKU AMIR SHAH : Untuk berjaya di dalam kempen Piala Malaysia pada tahun ini kita perlu percaya dengan rakan sepasukan, yakin dengan kebolehan sendiri dan mempamerkan mentaliti juara dalam setiap perlawanan yang dihadapi.

Sekiranya kita boleh berpegang teguh dengan ciri-ciri penting tersebut, saya yakin Selangor boleh menjulang Piala Malaysia edisi ke-100 ini.
CAKAP SUKAN : Apakah nasihat Tuanku kepada pemain-pemain Selangor yang bakal menghadapi kejohanan TM Piala Malaysia nanti?
TENGKU AMIR SHAH : Sejarah pasukan ini yang kaya dengan kejuaraan Piala Malaysia sudah pasti memberi kita kebanggaan yang tinggi untuk bermain demi lencana di dada lagi-lagi apabila sudah sekian lama sejak Selangor menjulang sebarang kejuaraaan.
Kita semua perlu teruskan perjuangan ini dan sentiasa bersatu teguh. Bermain dengan bijak dan penuh maruah. Saya percaya setiap pengorbanan yang dibuat akan dibalas dengan kebanggaan yang berlipat ganda.
Add Comment