
Oleh : SUBKHI SUDARJI
KUCHING City FC menaruh harapan dan kepercayaan peluang menyertai Piala Malaysia masih berada dalam cengkaman walaupun hasrat berkenaan tertangguh ekoran kekalahan 0-2 di tangan Terengganu FC II pada aksi tertunda Liga Premier di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), hari ini.
Masih berbaki dua perlawanan dengan mengumpul 24 mata berkongsi dengan Kelantan FC yang sudah pun menamatkan 19 perlawanan, kelebihan kini memihak skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim yang akan menentang Perak FC II pada 21 September dan Kelantan United FC selang tiga hari kemudian.
Bagi penolong jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin berkata, pasukan enggan memilih jalan sukar dengan kemenangan ke atas Perak FC II perlu diraih untuk menoktahkan pentas Piala Malaysia 2021.
“Peluang besar milik pasukan tetapi tugas utama kini adalah memastikan tiga mata pada aksi menentang Perak FC II dan KUFC yang dianggap penting.
“Saya tidak mahu pemain terbawa-bawa dalam mimpi saingan Piala Malaysia kerana keutamaan kini adalah dua aksi terakhir,” ujarnya pada sidang media selepas perlawanan.
Mengulas kekalahan 0-2 pasukannya di tangan pelawat, Sulaiman menyifatkan kesilapan individu antara punca kekalahan dilaman sendiri.
“TFC II adalah pasukan yang hebat, kami bermain baik sehinggalah minit ke 70 namun selepas itu kesilapan pemain membezakan keputusan.
“Bagi saya keputusan seri adalah adil buat kedua pasukan namun kami akan bangkit pada perlawanan seterusnya,” tegasnya.
Pada aksi yang berlangsung petang tadi, hasrat Kuching City FC mengesahkan slot ke saingan Piala Malaysia tertangguh selepas tewas 0-2 kepada TFC II hasil jaringan sendiri pemain KUFC Jimmy Raymond (m-70) dan pemain gantian TFC II, Nur Azfar Fikri Azhar (m-84).
Kekalahan itu menyebabkan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim terpaksa melakar kemenangan pada baki dua perlawanan untuk memburu slot ke pentas piala berprestij itu.
Add Comment