Bola Sepak

NSFC tumpu kejuaraan Liga Premier – Zaquan


Zaquan mahu rakan sepasukan fokus pada aksi terakhir menentang PDRM FC, Selasa ini.

NEGERI Sembilan FC (NSFC) tidak kisah sama ada berada dalam Kumpulan A mahupun C dalam saingan Piala Malaysia 2021 yang dijadualkan berlangsung mulai 25 September nanti.

Ketua pasukan NSFC, Zaquan Adha Abd. Radzak berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan buat masa ini hanya berikan tumpuan kepada aksi terakhir bertemu PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi , Selasa ini yang akan menjadi penentu kepada kejuaraan Liga Premier.

“Buat masa ini fokus kami adalah mengenai kejuaraan Liga Premier kerana kami akan menghadapi satu perlawanan penting pada Selasa depan bertemu PDRM, selepas itu barulah kami akan melihat cabaran di Piala Malaysia.

“Mana-mana sahaja kumpulan kami akan diletakkan, Negeri Sembilan akan beri saingan sebaik mungkin kerana peluang bersaing di Piala Malaysia adalah satu penghormatan terbesar buat mana-mana pasukan.

“Sama ada kami dalam kumpulan dengan Penang FC atau Kedah Darul Aman FC, tidak jadi masalah kerana kita memang tahu kualiti yang ada pada pasukan Liga Super tetapi kita akan cuba bersaing.

“Mana-mana pasukan Liga Super bagi saya kekuatan mereka adalah sama, tiada istilah pasukan ini kuat, pasukan itu tidak kuat kerana Piala Malaysia adalah satu pertandingan yang berada di platform berbeza,” katanya.

Ketika Negeri Sembilan FC dan Sarawak United FC yang sudah mengesahkan slot  Piala Malaysia, empat pasukan lain seperti PDRM FC, Kuching City FC, Kelantan FC dan Kelantan United FC masih memburu dari baki tiga daripada lima slot yang ditawarkan untuk Liga Premier.

Dalam Kumpulan A, Penang FC yang diletakkan selaku pasukan pilihan diundi bersama Kuala Lumpur City FC, Sri Pahang FC selain pasukan kedua terbaik di Liga Premier.

Bagi Kumpulan C, setakat ini hanya dua pasukan telah diketahui akan berada dalam kumpulan tersebut iaitu Kedah Darul Aman FC dan Melaka United FC dengan dua slot menjadi milik posisi pertama dan kelima Liga Premier.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: