Bola Sepak

Maniam dedah rahsia PJ City FC kekal dalam Liga Super, “Kami unik”


Maniam menekan faktor kepercayaan kepada pemain-pemainnya.

 

Oleh: SURYATI MOHD NOR/Foto: PJ CITY FC

KEPERCAYAAN dan kerja keras antara faktor utama Petaling Jaya City FC (PJ City FC) masih ‘berdegil’ berada dalam aksi Liga Super sehingga musim depan.

Pada awal musim saingan Liga Super 2021, PJ City FC menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak tempatan yang hadir ke liga utama ini tanpa seorang pun pemain import. Seratus peratus ‘made in Malaysia’!.

Segelintir meluahkan pendapat bahawa skuad kendalian P.Maniam ini hanya mampu bertahan untuk satu musim sahaja, memandangkan majoriti 11 pasukan lain meletakkan pemain import dalam barisan utama.

Pemain-pemain sendiri mempunyai disiplin tinggi dalam latihan.

Namun ia tidak menghadirkan gentar kepada pasukan yang rata-rata dibarisi pemain-pemain muda.

“Ini pasukan yang paling unik. Ada Melayu, Cina dan India. Mereka memberi kerjasama berpasukan yang sangat positif. Lebih penting sikap saling menghormati kepada beberapa pemain senior antara faktor mengapa kami masih bertahan.

“Gandingan pemain-pemain berpengalaman antaranya Kyril Muhymeen, K. Gurusamy, Mahali Jasuli dan beberapa orang lagi banyak memberi impak kepada pasukan. Mereka dan pemain-pemain muda tegur (nasihat) antara satu sama lain,” kongsinya kepada Cakap Sukan.

Bekas penyerang Selangor berusia 53 tahun ini juga yakin kepercayaan yang diberikan oleh pemilik kelab Datuk Seri Vijay Eswaran, Presiden kelab Datuk Seri Subahan Kamal untuk menjadikan PJ City FC sebagai satu-satu kelab pemain lokal.

Selain pemain, barisan jurulatih dan staf juga antara faktor pasukan ini masih kekal dalam Liga Super.

“Mereka percayakan saya yang lebih ‘mengenali’ dalam proses pembangunan pemain-pemain muda. Saya sangat menghargai di atas kepercayaan tersebut. Terima kasih juga kepada semua barisan jurulatih dan staf kelab ini.

“Saya teruskan kepercayaan kepada pemain-pemain. ‘Circle’ kepercayaan ini menjadikan kami lebih bersemangat dan terus bekerja kuat.

“Malah bagi pemain-pemain muda juga, termasuk simpanan… mereka mempunyai sikap berani dan bersaing antara satu sama lain untuk dipilih sebagai pemain utama. Sebab itu saya tidak risau kerana semuanya boleh bermain dengan baik setiap perlawanan.

“Mereka memberi lebih 100 peratus dan saya selalu berpesan supaya teruskan bekerja kuat dan fokus, paling penting jangan ‘give up’.

PJ City FC sentiasa memberi saingan sukar buat lawan.

“Mungkin pusingan kedua liga kelihatan prestasi sedikit menurun kerana ramai pemain yang mengalami kecederaan, namun kami tewas bukan dengan jaringan yang besar,” tambahnya.

Petaling Jaya FC City menamatkan saingan Liga Super musim ini ditangga ke-7 dengan mengumpul 24 mata selepas mencatat 6 menang, 6 seri dan 10 tewas.

Kini mereka terus menjalani persiapan menghadapi Piala Malaysia.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: