Bola Sepak

Masanya sudah tiba – Kim Swee

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 Kim Swee mengakui rindu untuk kembali turun padang.

Oleh MOHD FARIQ

DATUK Ong Kim Swee mendedahkan perasaan rindu untuk kembali beraksi di atas padang antara faktor paling kuat beliau menerima tawaran untuk membimbing Sabah FC.

Semalam (Jumaat), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan Kim Swee telah melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pengarah Teknikal FAM selepas bersetuju menjadi pengendali pasukan negeri Di Bawah Bayu itu berkuatkuasa pada 1 Oktober depan.

Ketika ditanya oleh CAKAP SUKAN mengenai keputusan itu, Kim Swee tanpa berselindung menyifatkan tawaran membimbing Sabah FC dilihat sebagai petanda kuat sekali gus beliau tidak berfikir panjang untuk kembali melatih pasukan.

“Saya mahu cabaran baharu. Ya, saya telah mengambil risiko jika orang melihat daripada aspek itu tetapi saya tetap mahu turun kembali ke padang.

Tambah Kim Swee, beliau segera menyatakan hasrat itu kepada Datuk Hamidin Mohd Amin di mana Presiden FAM itu telah memberikan sokongan penuh terhadap dirinya.

“Sudah tentu saya memaklumkan perkara ini lebih awal kepada Hamidin yang saya menganggap sebagai sahabat karib saya dan kini menjadi Presiden saya.

“Ketika saya memberitahu hasrat saya membimbing Sabah, beliau terus menyokong saya dan menerima hajat saya itu.

“Sejujurnya ia adalah keputusan berat buat saya kerana saya telah bersama dengan FAM selama 14 tahun. Pelbagai kenangan terukir sepanjang berada di sini.

“Saya menafikan bahawa spekulasi saya meninggalkan FAM disebabkan perkara negatif. Ia tidak betul sebaliknya saya meninggalkan FAM dengan cara terhormat.

“Seperti saya katakan tadi, saya membuat keputusan ini disebabkan keghairahan saya turun padang masih tebal dan saya sudah tidak sabar melatih pasukan,” ujarnya yang mengikat kontrak tiga tahun bersama Sabah FC.

Bekas pemain Sabah (1994-1998) ini yang memulakan karier sebagai jurulatih dengan membimbing pasukan Melaka pada musim 2004-2005.

Sepanjang 14 tahun bersama FAM, Kim Swee memegang pelbagai jawatan dan merekodkan kejayaan.

Kemudian beliau mula bersama FAM dari tahun 2007 dengan pelbagai jawatan iaitu ketua jurulatih skuad B-16 kebangsaan, skuad B-17 kebangsaan, skuad Harimau Muda, skuad B-23 kebangsaan, skuad kebangsaan, Ketua Unit Belia dan terakhir sebagai Pengarah Teknikal bermula Januari 2021.

Antara kejayaan Kim Swee sepanjang bersama FAM ialah membimbing pasukannya muncul juara Piala Belia 2007, naib juara Piala Belia 2008, juara Liga Premier 2009, pingat emas Sukan SEA 2011, juara Pestabola Merdeka 2013, pingat perak Sukan SEA 2017, suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 dan layak ke peringkat kalah mati pada Sukan Asia 2018.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: