Bola Sepak

Lega dapat kebenaran buka aktiviti sektor sukan, “Perniagaan 20 tahun jatuh teruk”

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Kok Wai mengakui amat terkesan dengan penutupan sektor sukan akibat pandemik Covid-19.

 

KEBENARAN untuk kembali menjalani aksitivi sukan, riadah dan rekreasi bukan sahaja memberi ‘nafas lega’ kepada orang ramai yang sekian lama gian untuk bersukan secara terbuka, tetapi lebih bermakna kepada pemain industri sukan.

Pengarah Urusan Figos Sdn Bhd, Tan Kok Wai mengakui pengumuman kebenaran menjalankan aktiviti sukan bermula 10 September ini oleh  Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu merupakan masa yang ditunggu-tunggu.

“Memang  perniagaan sukan sangat terkesan terutamanya futsal sejak dua tahun kebelakangan ini. Kami perlu memulakan kembali dari bawah. Perniagaan yang dibina sepanjang 20 tahun hilang begitu sahaja disebabkan pandemik ini.

“Sekarang ini saya perlu merangka kembali untuk bangkit meriahkan sukan futsal tanah air,” kongsinya kepada Cakap Sukan.

Figos merupakan pengeluar rasmi kasut futsal tanah air antara yang aktif menganjurkan kejohanan futsal dalam pelbagai peringkat umur, malah turut menaja beberapa program pembangunan komuniti futsal peringkat kanak-kanak dan remaja.

Malah Figos juga pernah menjadi penaja Le Tour de Langkawi (2011) serta beberapa kejohananan besar kebangsaan.

“Setakat ini saya menunggu SOP yang dibenarkan untuk aktiviti futsal selain daripada yang sedia ada. Memang akui kita semua dalam fasa norma baharu untuk sukan terutamanya sukan futsal.

“Mungkin perlukan masa untuk mengadakan pelbagai aktiviti futsal tanah air,” jelas Kok Wai.

Dalam pada itu, Kok Wai turut berkongsi mengambil langkah lebih kreatif dalam mengeluarkan produk-produk sukan futsal selain tertumpu kepada kasut dan jersi.

Figos mengambil inisiatif memperkenal produk terbaharu, beg serbaguna.

“Memandangkan selepas ini SOP yang ketat dilaksanakan di gelanggang dan semua yang terlibat perlu pastikan kebersihan diri, jadi kami memperkenalkan beg serbaguna atau ‘Travelling Bag’ yang sesuai digunakan ke mana sahaja.

“Malah ia lebih praktikal kerana pemain-pemain boleh meletakkan pakaian bersih untuk dipakai selepas bermain futsal. Boleh letak tuala, baju dan seluar bersih ketika ke venue.

“Sudah tentu harganya berpatutan (RM80) dengan dua pilihan warna (merah dan hitam).

“Ia langkah awal kami untuk memastikan setiap orang pentingkan kebersihan. Kita jaga kita,” jelanya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: