Bola Sepak

Misi ‘hidup mati’ Golden Hornbill, Negeri Sembilan FC kejar rapat


Elavarasan dan Devan pastinya memiliki perancangan tersendiri menjelang pertembungan getir malam esok.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

BIARPUN Sarawak United FC (SUFC) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) sudah mengesahkan penyertaan mereka dalam saingan Liga Super musim 2022, namun perjuangan penting mereka dilihat masih belum berakhir.

Tumpuan kini pastinya terarah untuk perebutan gelaran Juara Liga Perdana 2021 dengan pertembungan dua sentuhan jurulatih berpengalaman, E. Elavarasan dan K Devan yang bakal menggunakan ramuan rahsia pada aksi malam esok (Jumaat), sudah tentu bakal mencuri tumpuan.

Apa yang menarik, perbezaan dua mata yang memihak skuad bimbingan Elavarasan ke atas ‘The Jangs’ kini menjadi pemisah kedudukan dua tempat teratas selepas 18 perlawanan berlangsung.

Sarawak United FC sepatutnya mampu bergelar juara lebih awal namun kekalahan tipis 0-1 di tangan Kuching City FC, Selasa lalu di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, merencatkan hasrat pasukan yang berpengkalan di Lembah Klang ini.

Kali terakhir SUFC meraih keputusan terbaik dalam saingan adalah ketika menduduki tangga kedua Liga FAM (2018) dan dalam saingan Liga Premier pula tidak banyak yang boleh dibanggakan apabila mengakhiri saingan musim lalu ditangga ke-10.

Musim 2021 adalah masa terbaik buat Elavarasan mencipta nama sebagai jurulatih bagi memastikan SUFC menjulang Piala Liga Premier selain menaikkan sahamnya untuk terus menjadi pengendali pasukan.

Norshahrul Idlan Talaha (kiri) pastinya menjadi taruhan SUFC untuk merobek gawang tuan rumah.

TIGA MATA MUTLAK PERLU DIRAIH

Bagi Elavarasan pertembungan menentang Negeri Sembilan FC , malam esok (Jumaat) akan menjadi penentu pasukan mana yang bakal muncul juara tatkala ia ibarat misi hidup dan mati bagi pasukannya musim ini.

“Pasukan bimbingannya amat memerlukan kemenangan pada aksi berkenaan bagi menoktahkan perebutan kejuaraan liga dan berusaha mengelak daripada mengheret hingga ke perlawanan terakhir liga.

“Kami masih kekal di tangga teratas dan saya tidak panik walaupun tewas 0-1 kerana kami ada kelebihan dua mata. Bagaimanapun kami tidak boleh biarkan Negeri Sembilan memintas kami sekiranya pasukan itu menang pada perlawanan malam esok.

“Seandainya seri, aksi terakhir menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di gelanggang lawan akan menjadi penentuan dan kami akan pastikan ia tidak berlaku kerana menjuarai liga adalah misi utama kami pada musim ini,” ujarnya.

PELUANG ULANGI PENCAPAIAN 2005-2006

Bagi Negeri Sembilan pula, kali terakhir mereka meraih keputusan terbaik dalam saingan Liga Premier adalah pada 2005-2006 selaku juara.

Tegas Devan, peluang anak didiknya meraih gelaran kejuaraan Liga Premier 2021 tetap ada memandangkan SUFC juga akan menentang NSFC dan JDTII di tempat lawan.

“Mereka akan lalui aksi terakhir dengan pasukan hebat seperti JDT II ditempat lawan, jadi kami perlu menang pada aksi malam esok untuk terus menyalakan impian memburu kejuaraan,” jelasnya.

Barisan pemain Negeri Sembilan kini terus bersemangat memburu gelaran kejuaraan.

PERLAWANAN TERAKHIR (21 September 2021 / Selasa)

  • NSFC lwn PDRM FC / Std Paroi / 9 mlm.
  • JDT II lwn SUFC / Std Larkin / 9 mlm.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d