Komentar

“KITA JAGA KITA”


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu membut pengumuman mengenai kelonggaran sektor sukan, riadah dan rekreasi.

Oleh: MOHD FARIQ

MERIAH garis masa media sosial semalam.

Sebaik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan fasiliti sukan dan rekreasi komersial terbuka dan tertutup dibenarkan beroperasi kepada pelanggan yang lengkap vaksin bermula esok, seluruh rakyat Malaysia meraikan hari yang dinanti-nantikan ini.

Tak sampai seminit selepas perkhabaran gembira daripada Perdana Menteri, orang ramai sudah mula sibuk merancang untuk bersukan.

Ada yang sedang berkira-kira bermain futsal, ada yang sudah menempah bermain bola sepak di padang komersial dan ada juga yang kembali mengikat tali raket badminton.

Penulis tersimpul senyum.

Bukan apa melihat situasi ini bagaikan seolah-olah kita mahu menyambut hari perayaan di mana betapa kita semua sudah bersiap sedia untuk bersukan selepas sekian lama berbuat demikian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Secara tidak langsung ini menunjukkan budaya sukan dalam kalangan rakyat Malaysia bukan sekadar komestik semata-mata.

Pertama penulis mahu mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan di atas kebenaran membuka semula sektor sukan dan rekreasi komersial ini.

Tidak lupa juga ucapan tahniah dan penghargaan kepada Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang sentiasa memahami sentimen sukan negara.

Jika kita mengimbau kembali perjalanan sektor pengusaha fasiliti sukan dan rekreasi komersial terbuka dan tertutup ini, ia jelas bukan satu cerita mudah untuk diungkapkan.

Malah ada yang gulung tikar kerana sudah tidak mampu menanggung kos operasi harian dan dalam masa yang sama tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikuli.

Kini, penulis sangat berharap selepas pembukaan kembali sektor fasiliti sukan dan rekreasi komersial terbuka dan tertutup ini bukan sahaja dapat membantu menghidupkan kembali perniagaan mereka sebaliknya penulis menaruh harapan supaya sektor ini dapat dikekalkan beroperasi seperti sedia kala.

RAKYAT JADI TALIAN HAYAT SEKTOR SUKAN

Sekarang kita semua menggalas satu tanggungjawab yang cukup penting dalam misi memastikan fasiliti sukan dan rekreasi komersial terbuka dan tertutup ini sentiasa terpelihara.

Janganlah disebabkan keghairahan kita yang gagal mematuhi standard operasi prosedur (SOP) atau tidak berdispilin menyebabkan industri ini kembali ditutup oleh pihak kerajaan.

Sekarang kita telah dapat apa yang kita mahukan; melakukan aktiviti riadah tetapi dengan syarat, kita wajib mematuhi prosedur-prosedur mengikut ketetapan yang diputuskan oleh badan berkuasa.

Belum apa-apa lagi penulis ada terlihat beberapa orang telah berebut untuk tempah slot futsal, bola padang, badminton dan sebagainya.

Penulis faham kalian semua sudah lama tidak bersukan dan melakukan aktiviti riadah yang disukai tetapi kata orang, tak lari gunung dikejar.

Aktiviti futsal dijangka kembali akif selepas ini.

Janganlah kita mengamalkan sikap pentingkan diri, gelojoh atau terburu-buru kerana perbuatan ini dijangka mampu memberikan impak buruk kepada industri fasiliti sukan dan rekreasi komersial terbuka dan tertutup.

Apa yang penting, tauladan rakyat dalam masa kini akan menjadi penanda aras.

Ini kerana kita tidak mahu lagi industri sukan menjadi yang pertama ditutup dan menjadi yang terakhir dibuka. Ingatlah kita harus kekal berdisiplin dalam menjaga kesucian sektor ini.

PENGUSAHA SUKAN HADKAN OPERASI, JAGA SOP

Penulis percaya pengusaha-pengusaha fasiliti sukan dan rekreasi komersial terbuka dan tertutup akan memanfaatkan kebenaran pihak kerajaan ini dalam meneruskan survival mereka dalam industri.

Kita tidak boleh menjangkakan betapa teruk mereka menanggung kerugian sebelum ini dan kitalah yang boleh membantu pengusaha-pengusaha sukan agar kembali meriah menjana ekonomi negara.

Sama seperti nasihat di atas, penulis juga berharap pengusaha-pengusaha sukan juga tidak mengambil kesempata untuk mengaut keuntungan sehingga mengabaikan larangan atau SOP.

Mungkin menurut pandangan peribadi penulis, pengusaha-pengusaha sukan boleh memulakan perniagaan mereka secara minimalis terlebih dahulu bagi memastikan rantaian Covid-19 dapat dibendung.

Sebagai contoh, jika satu padang komersial dibuka kepada tujuh slot sehari, mungkin dapat dilakukan sebanyak empat slot sehari seimbang dengan pelaksanaan SOP yang ditetapkan.

Komentar Cakap Sukan sebelum ini ada menyentuh mengenai masalah pengusaha padang komersial.

Penulis faham ada segelintir daripada mereka terdesak untuk mengukuhkan kembali kewangan mereka tetapi janganlah disebabkan itu seluruh pengusaha sukan terpaksa menanggung akibat yang merugikan semua jika sektor ini kembali ditutup oleh pihak kerajaan.

Apa yang mustahak sekarang adalah ia menjadi peluang terbaik untuk rakyat Malaysia membuktikan ‘kita jaga kita’.

Cuma penulis sekarang juga turut berharap pihak kerajaan dapat membenarkan penonton ke stadium bola sepak.

Berdasarkan statistik vaksin lengkap rakyat Malaysia yang positif selain beberapa negeri serta wilayah telah beralih ke Fasa 2, penulis melihat permintaan itu bukanlah perkara yang mustahil.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 70.5 peratus iaitu 16, 492, 295 individu telah lengkap divaksinasi sementara 89.5 peratus iaitu 20, 943, 582 sekurang-kurangnya menerima satu dos suntikan vaksin.

Aktiviti riadah dan rekreasi.

Mungkin di peringkat awal pihak kerajaan dapat membenarkan kepada individu yang lengkap divaksinasi sahaja dengan berskala mengikut tempat duduk venue berkenaan.

Bukan apa, industri bola sepak negara pun berada dalam tenat dan kami semua juga mahu membantu liga tempatan kembali meriah apatah lagi tahun ini merupakan sambutan 100 tahun bagi trofi keramat negara, Piala Malaysia.

Akhir kata daripada penulis, sudah lama kita semua tidak turun ke stadium dan kecil tapak tangan nyiru ditadahkan jika pihak kerajaan dapat merealisasikan hasrat ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading