Paralimpik Tokyo 2020

Ketua Kontinjen Malaysia jumpa CDM Ukraine, mohon maaf

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Megat D. Shahriman (dua, kanan) bersama Madame Olena Zaitseva.

 

KETUA Kontinjen Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin telah mengadakan pertemuan bersama Chef de Mission (CDM) Ukraine, Madame Olena Zaitseva, yang juga Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Ukraine pada Sabtu.

Pertemuan tersebut bagi mengemukakan permohonan maaf bagi pihak seluruh rakyat Malaysia atas insiden kecaman hebat terhadap atlet Ukraine, Maksym Koval yang diisytiharkan pemenang pingat emas bagi acara lontar peluru F20. Ia hasil bantahan yang dibuat kem Ukraine.

Pada awalnya, atlet kebangsaan, Muhammad Ziyad Zolkefli merangkul emas selepas dua kali memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94 meter, tetapi dibatalkan berikutan bantahan Ukraine atas kelewatan masuk ke bilik menunggu.

“Saya telah menjelaskan kepada beliau bahawa reaksi negatif daripada rakyat Malaysia ini berpunca daripada kekecewaan kita terhadap keputusan yang tidak menyebelahi Ziyad, selain fanatik dalam menyatakan sokongan padu terhadap manamana atlet yang bertanding di bawah semangat Jalur Gemilang.

“Lebih-lebih lagi insiden penarikan semula pingat emas ini terjadi pada kita di Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan negara ke-64 pada tanggal 31 Ogos lalu.

“Selaku Ketua Kontinjen Malaysia, saya mengakui bahawa saya turut terkilan apabila mendapat keputusan bahawa penyertaan Ziyad dibatalkan kerana kesilapan teknikal.

“Saya percaya insiden ini telah memberi pengajaran bukan saja kepada saya, bahkan kepada seluruh penggiat sukan bahawasanya masa itu adalah emas, dan masa juga boleh menyebabkan kita kehilangan pingat emas yang sangat berharga.

“Dalam pertemuan singkat itu, saya yang ditemani Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia telah berhubung dengan Ketua Kontinjen Ukraine bagi meleraikan kekusutan termasuk berjanji untuk mengekalkan hubungan baik dua hala antara Malaysia dan Ukraine.

“Madame Olena Zaitseva turut memberi jaminan bahawa akan menyampaikan mesej permohonan maaf daripada kita buat seluruh rakyat Ukraine,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada media.

Megat D. Shahriman memberitahu, bahawa kerajaan Ukraine turut kesal dengan insiden yang terjadi.

“Saya berharap dengan tindakan ini dapat meredakan keadaan demi menjaga nama baik Malaysia.

“Saya sekali lagi berharap kita semua dapat mengekalkan semangat kesukanan yang tinggi dan hubungan baik secara profesional, dan menjadikan insiden ini sebagai pengajaran supaya ianya tidak berulang lagi di masa depan.”


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: