Paralimpik Tokyo 2020

Emas bukti kerja keras Latif, “Nak balik kampung jumpa mak ayah”

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Latif mengalir air mata ketika menerima pingat emas.

 

Oleh: SURYATI MOHD NOR /Foto: MSN

PEMENANG pingat emas lompat jauh Paralimpik, Abdul Latif Romly memberitahu kejayaannya di Tokyo 2020 kali ini adalah hasil kerja keras ‘berkurung’ lama di Majlis Sukan Negara (MSN).

Latif,24, berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Rio 2016 dengan catatan 7.45 meter yang dirakam ketika aksi kedua. 

Menurut Latif, kehadirannya di Tokyo kali ini adalah cuba untuk mencatat lompatan 8 meter selain mempertahankan pingat emas.

Latif mencatat 7.45 meter untuk meraih emas.

“Saya ‘prepared’ selama lapan bulan tanpa henti nak cuba buat lapan meter dan pecah rekod, tetapi tak kesampaian. Mungkin lain kali.

“Tetapi medal ini juga membuktikan pencapaian pertama di Rio (emas) bukanlah nasib semata-mata dan ianya dibuktikan di sini.

“Emas ini adalah untuk semua, untuk pasukan dan keluarga yang telah lama saya tidak pulang ke kampung ‘dah’ lapan bulan,” jelasnya ketika sidang media secara atas talian lewat Sabtu malam.

Tambah Latif lagi, selepas ini dia hanya mahu berehat dan menjalani pemulihan kecederaan yang dialami ketika melakukan lompatan kelima.

“Saya nak berehat dan balik kampung jumpa mak ayah. Lepas kecederaan pulih, saya akan fokus balik untuk persiapan Kejuaraan Asia dan Dunia tahun depan,” jelas atlet kelahiran Kangar, Perlis ini.

Pada aksi final, Latif mengalami kecederaan di pangkal paha menyebabkan dia terpaksa menarik diri untuk lompatan terakhir.

Latif mengalami kecederaan ketika melakukan lompatan kelima.

Namun lompatan kedua yang dilakukan Latif sudah cukup untuk meletakkan dia di tempat pertama bagi pingat emas.

Sementara itu, atlet Greece Athanasios Prodromou merangkul perak dengan catatan 7.17 meter, manakala peserta dari Australia Nicholas Hum meraih pingat gangsa dengan 7.12 meter.

Sebagai rekod, Abdul Latif berjaya memperbaharui rekod dunia dengan jarak 7.64m dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) pada temasya Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia, memadam catatan lama 7.60 meter (Rio 2016).


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: