Paralimpik Tokyo 2020

‘Dek Wan’ gagal pertahan emas acara 100 meter


PELARI pecut para negara, Mohamad Ridzuan Puzi tidak berjaya mempertahankan pingat emas selepas menamatkan larian di kedudukan keempat acara 100 meter lelaki T36 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik pada Sabtu.

Mohamad Ridzuan yang lebih dikenali dengan ‘Dek Wan’ mencatatkan masa 12.15 saat berbanding masa yang dirakam ketika aksi saringan kedua semalam 12.06 saat di Stadium  Olimpik.

“Saya dah buat yang terbaik, kalau tak licin boleh dapat pingat…sikit saja lagi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas aksinya hari ini.

Biarpun mengakhiri kempen kedua Paralimpik tanpa sebarang pingat, semangat pelari berusia 33 tahun  masih membara untuk menyertai kejohanan mendatang termasuk Paris 2024.

Ridzuan yang mengalami palsi serebrum juga tekad untuk merampas kembali pingat emas dimenangi oleh atlet China, Deng Peicheng dalam acara itu.

Selain merangkul emas, Peicheng berjaya memadam rekod Paralimpik milik jaguh Australia, James Turner, yang dilakukan pada peringkat saringan kedua pada Jumaat iaitu 11.87s, dengan rekod baharu 11.85s dalam aksi final ini.

James, yang merupakan pemegang rekod dunia dengan catatan 11.72s dalam kejohanan dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 2019 terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan masa 12.00s.

Pingat gangsa pula milik Alexis Sebastian Chavez dari Argentina yang melakukan catatan masa 12.02s.

Mohamad Ridzuan sebelum ini mencipta sejarah apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik sejak negara mula menyertai temasya berprestij itu pada edisi 1972 di Heidelberg, Jerman, menerusi acara sama di Rio 2016.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d