
Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI
JAGUH lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mahu rakyat Malaysia menghentikan serangan di media sosial ke atas atlet Ukraine Marsym Koval yang memenangi emas dan Oleksandr Yarovyi (perak) .
Ziyad berkongsi perasaan kecewa diatas kehilangan pingat emas tetapi menerimanya dengan hati yang terbuka.
“Saya benar-benar sedih ketika keputusan itu dibuat, tetapi bayangkan apa yang dilalui oleh rakan-rakan saya dari Ukraine. Mereka seperti saya, bersaing dalam kategori saya. Emosi yang saya lalui akan sama setelah melihat semua itu.
“Tolong, hentikan serangan dan kritikan kepada mereka. Ada yang mengecam fizikal mereka dan mengucapkan komen yang pasti akan melukakan perasaan mereka.
“Perkara negatif ini harus berhenti. Sudah tiba masanya kita menyebarkan aura positif. Mereka adalah atlet. Kita semua melakukan yang terbaik di pertandingan itu,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ziyad menyuarakan rasa sedih selepas gagal mengotakan janji untuk menghadirkan pingat emas sempena hari Kemerdekaan Negara.
Ujarnya, dia benar-benar sedih atas kegagalan itu walaupun telah melakukan yang terbaik dan berlatih dengan bersungguh-sungguh, hanya untuk melihat pingatnya hilang.
“Ia menyakitkan. Dalam setiap kejohanan, saya akan selalu membawa sesuatu untuk Malaysia, tetapi kali ini saya membawa balik kesedihan.
“Tetapi ini adalah pengajaran yang dapat dipelajari dengan baik. Saya belum selesai. Tahun depan, lebih banyak pertandingan menanti.
“Saya akan pergi ke Paris pada tahun 2024. Tujuan utama untuk memecahkan rekod dunia dan membawa pulang emas untuk negara tercinta saya Malaysia.
“Ketika dalam perjalanan pulang, saya memujuk diri saya membuang kesedihan ini dan menjadi kuat di depan anda semua. Saya selalu katakan akan ada detik ini (menang emas dan pecah rekod) untuk saya pada masa akan datang,” jelasnya.
Add Comment