Bola Sepak Komentar

Cari penyelesaian terbaik, masa untuk tindakan sewajarnya

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 Oleh: MOHD FARIQ

TAHUN ini jelas menjadi satu cabaran kepada pemain-pemain muda negara selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan pertandingan peringkat bawah umur 21 tahun iaitu Piala Presiden dan Piala Belia 2021 dibatalkan tahun ini.

Difahamkan keputusan itu terpaksa dilakukan selepas menilai situasi semasa pandemik Covid-19, hal-hal pengoperasian serta keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam penganjuran kedua-dua pertandingan ini.

Apa yang menjadi punca konkrit di atas pembatalan pertandingan melibatkan pemain muda ini juga turut dikaitkan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak membenarkan FAM menganjurkan Piala Belia dan Piala Presiden.

Menurut mantan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang memberitahu biarpun kadar kes baharu Covid-19 di Lembah Klang telah menunjukkan penurunan, kes-kes baharu di negeri lain dilihat meningkat dan masih tidak menentu, sekali gus dijangka tempoh masa yang lebih lama diperlukan untuk melihat jumlah kes berada pada tahap yang rendah untuk dibolehkan kedua-dua pertandingan ini berlangsung.

Program atau pertandingan di peringkat remaja perlu perhatian yang lebih jelas.

Jelas lagi Stuart dalam kenyataan rasmi, faktor para pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2021 yang sudah melengkapkan dua dos vaksin masing-masing juga pada tahap yang agak rendah ketika ini yang mana ia akan memberi risiko bagi keselamatan dan kesihatan para pemain jika kedua-dua pertandingan ini tetap mahu dilangsungkan pada tahun ini.

Pertama, penulis mengakui tidak dapat elak berasa simpati terhadap nasib pemain-pemain muda negara apabila ia menjadi tahun kedua buat mereka menyaksikan Piala Belia dan Piala Presiden dibatalkan.

Ini kerana kejohanan tersebut dilihat menjadi medan terbaik buat mereka untuk mengeluarkan potensi sebagaimana persaingan dalam kelab utama sangat tinggi dan sentiasa diselubungi tekanan.

Penulis tidak berminat untuk menuding jari siapakah pihak yang bertanggungjawab dalam permasalahan ini.

Sebaliknya penulis lebih berminat untuk mengintai formula atau langkah untuk menyelamatkan nasib pemain-pemain muda tempatan ketika mengharungi detik sukar dalam pandemik Covid-19 ini.

Anjakan paradigma FAM perlu diperkasa

Penulis optimis bahawa penyokong sangat memahami sentimen Covid-19 dan setiap penganjuran kejohanan harus mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun, penulis yakin bahawa FAM telah menyusun perancangan terbaik dalam menjayakan kejohanan peringkat belia ini tetapi rezeki jelas tidak memihak kepada mereka.

Suka atau tidak, angka pesakit baharu Covid-19 masih berada di dalam peringkat yang cukup serius dan hakikat ini perlu diterima oleh ramai pihak.

Bagaimanapun ia bukanlah satu alasan di mana penulis berpendapat FAM perlu mengatur perancangan lebih rapi yang dapat menyakinkan pihak kerajaan kerana bola sepak juga adalah salah satu agenda nasional negara.

Penulis juga yakin bahawa FAM telah mengemukakan cadangan untuk memastikan kejohanan ini dapat diteruskan adalah mengadakan secara karvinal atau menyusun semula format agar pertandingan dibuat mengikut zon dengan SOP tertentu.

Selaras dengan konsep gelembung sukan, penulis percaya bahawa kaedah ini antara yang terbaik untuk memastikan kesinambungan peringkat akar umbi pasukan negara mendapat tempoh minit permainan yang secukupnya.

Mungkin secara logiknya pihak kerajaan mengambil sentimen tidak membenarkan kejohanan Piala Belia dan Piala Presiden diteruskan disebabkan kekangan tertentu tetapi FAM harus mengemukakan perancangan lebih rapi dan teratur pada masa akan datang.

Kata orang, ‘kota Rom tidak dibina dalam tempoh satu hari’.

Justeru, perancangan yang teliti juga sentiasa menjadi keutamaan kerana kita tidak boleh lagi leka atau lalai dalam tempoh sukar seperti pandemik Covid-19 ini jika kita benar-benar mahukan perubahan dalam bola sepak negara.

Peranan barisan exco penting bantu Hamidin

Penyokong-penyokong masih terkilan dengan keputusan pembatalan Piala Belia dan Piala Presiden tetapi dalam masa yang sama penulis berharap Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin agar dapat melakukan sesuatu untuk menyelamatkan karier pemain-pemain muda ini.

Pertandingan di peringkat remaja perlu berpanjangan dengan struktur pelaksanaan yang teliti.

Namun usaha ini kita tidak boleh bersandarkan kepada Hamidin seorang semata-mata di mana ini juga adalab masa terbaik buat Exco-Exco FAM tampil dengan mengangkat darjat bola sepak negara kita.

Bak kata pepatah, ‘kalau takut ombak jangan sesekali berumah di tepi pantai’.

Ingin saya sarankan agar FAM bersikap telus dengan menguar-uarkan opsyen yang ada pada mereka.

Mungkin dengan kredibiliti Exco-Exco juga dapat memberikan impak sesuatu di mana penulis percaya mereka mampu memberikan sumbangan penting.

Ini kerana FAM akan dilihat berkongsi opsyen ini agar peminat boleh melihat kewibawaan FAM dalam menyediakan garis panduan untuk rujukan pasukan dan peminat, selain cuba meyakinkan KKM dan MKN bahawa cadangan mereka wajar dipertimbangkan.

Dalam dunia digital hari ini, cukup mudah untuk FAM berkongsi perancangan menerusi poster dan grafik dalam bentuk animasi untuk memudahkan peminat menghadam perancangan FAM.

Akhir kata daripada penulis, pemain muda adalah aset penting dalam bola sepak negara dan jika kita mengabaikan kesinambungan ini maka gelap masa depan skuad bola sepak kebangsaan kita pada masa akan datang.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: