Bola Sepak

Isu tunggakan gaji pemain import Perak FC selesai – Azman

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PERAK FC telah menyelesaikan isu tuntutan gaji tiga bekas pemain importnya menerusi pembayaran pendahuluan yang telah dilaksanakan hujung bulan lalu.

Pengurus Besar Perak FC,  Azman Noh  berkata, pemain import berkenaan ialah dari Korea Selatan, Jeon Hyo-seok, dua bekas pemain dari Brazil, Leandro Dos Santos dan Raianderson Da Costa Morais (Careca).

Menurutnya, tuntutan Hyo-seok telah dijelaskan secara ansuran dengan bayaran pendahuluan telah pun dibuat baru-baru ini.

“Tuntutan dua bekas pemain dari Brazil, Leandro Dos Santos dan Raianderson Da Costa Morais (Careca) untuk gaji bulan Mei dan Jun juga telah dibayar sebelum 31 Ogos lalu.

“Sementara itu, tuntutan agen kepada Leandro Dos Santos, Raianderson Da Costa Morais dan Guilherme de Paula pula akan dibuat secara ansuran mulai bulan hadapan, setelah Perak FC berunding dengan agen ketiga-tiga pemain dari Brazil itu,” jelasnya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan kelab, sebentar tadi.

Azman berkata, pihaknya juga ingin menjelaskan bahawa penyelesaian ini perlu dilakukan kerana ia berkaitan dengan lesen kelab.

“Kegagalan membuat penyelesaian akan menyebabkan Perak FC tidak akan diberi lesen untuk menyertai Liga Super pada tahun hadapan.

“Gaji bagi kesemua pemain-pemain Perak FC juga telah diselesaikan dan tiada sebarang tunggakan berkenaan isu berkenaan.

“Selain dari itu, isu-isu yang berkaitan seperti dengan LHDN, KWSP dan PERKESO juga perlu dikemaskini dan Perak FC sudah membuat perbincangan dengan agensi-agensi berkenaan,” tegasnya.

Tambahnya lagi, Perak FC merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, khususnya Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad kerana banyak membantu Perak FC dalam mencari sumber kewangan bagi menyelesaikan segala tuntutan.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: