Bola Sepak

Tunku Ismail berbelah bahagi untuk tinggalkan JDT

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Oleh: JJFIRDAUS

PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT)  Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mendedahkan beliau dalam situasi 50/50 sama ada mahu terus menerajui kelabnya itu atau melepaskannya kepada individu lain.

Menjawab persoalan netizen menerusi ruangan Question & Answer di laman Instagramnya, Tunku Ismail mengatakan bahawa beliau sebenarnya sudah penat menguruskan bola sepak.

Tetapi beliau risau akan berlaku perubahan besar pada JDT seperti penaja menarik diri, pemain keluar dari kelab dan kakitangan berhenti sekiranya hajatnya ini diteruskan.

Rata-rata penyokong tidak bersetuju dengan kehendak TMJ ini menerusi komen yang dilontarkan di laman sosial. Penyokong masih mahukannya terus menerajui kelab kerana beliau adalah ikon bola sepak moden Johor.

“Secara jujur saya letih sikit. Ini kerana saya menguruskan bola sepak kerana minat tetapi saya tidak memerlukan bola sepak. Dan apabila kita sudah mula kehilangan minat dalam melakukan sesuatu, kita harus cari benda lain dan saya juga mempunyai banyak tanggungjawab lain. Oleh itu buat masa ini 50/50,” jelasnya.

Perkara ini berbangkit apabila TMJ memuat naik hantaran yang mengatakan bahawa pusat latihan bersepadu canggih JDT yang sedang dalam pembikinan adalah hadiah terakhir buat kelab sekaligus menimbulkan tanda tanya.

JDT merangkul gelaran juara Liga Super kali kelapan berturut-turut.

Kebimbangan jelas terlihat di kalangan penyokong JDT terutamanya kerana mereka masih dahagakan perubahan dan kejayaan yang dibawa TMJ sejak melakukan revolusi bola sepak Johor bermula 2013.

Sejak ditubuhkan pada 2013, JDT sudah berjaya menjuarai 18 trofi dengan lapan kejuaraan Liga Super berturut-turut, enam Piala Sumbangsih, dua Piala Malaysia dan masing-masing satu Piala FA dan Piala AFC.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: