Permotoran

F1 Belgium: Perlumbaan terpendek dalam sejarah, Verstappen pemenang

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Cuaca buruk menyebabkan perlumbaan terpaksa dihentikan. Foto: F1

Oleh: JJFIRDAUS

MAX Verstappen telah diisytiharkan pemenang Grand Prix Belgium terpendek dalam sejarah yang kemudiannya dibatalkan akibat dari keadaan cuaca buruk dan hujan lebat.

Selepas hujan mengganggu kelancaran sesi kelayakan pada Sabtu, hujan berterusan terus melanda kawasan litar bermula dari sebelum perlumbaan hingga ke waktu perlumbaan seharusnya dimulakan.

Kawalan Perlumbaan pada awalnya mengumumkan bahawa perlumbaan yang sepatutnya bermula pada jam 3 petang waktu tempatan itu ditunda ke 3.25 petang dengan pusingan formasi dimulakan di belakang kereta keselamatan.

 

Kesemua pemandu melengkapkan dua pusingan formasi tetapi banyak pemandu melaporkan tahap penglihatan yang teruk dan kekurangan cengkaman yang menyebabkan perlumbaan ditangguhkan dengan kesemua pemandu kembali ke pit.

Selepas tertangguh sekian lama dengan tidak ada tanda hujan bakal berhenti, peluang untuk menjalankan perlumbaan dengan memberikan mata penuh dilihat semakin tipis.

Keadaan hujan reda sedikit dan kesemua pemandu kembali ke litar di belakang kereta keselamatan pada jam 6.17 petang dan melengkapkan dua pusingan sebagai syarat untuk memastikan kedudukan rasmi boleh diumumkan.

Ketika pusingan ketiga dibelakang kereta keselamatan, pusat kawalan perlumbaan sekali lagi mengeluarkan bendera merah sekaligus menghentikan perlumbaan dan semua pemandu sekali lagi kembali ke pit sebelum diisytiharkan perlumbaan tidak disambung pada jam 6.44 petang.

Dengan keputusan itu, Verstappen secara rasmi memenangi Grand Prix Belgium dan mendapat 12.5 mata sementara George Russell berjaya menaiki podium pertama beliau dalam F1 menerusi tempat kedua dan mengutip sembilan mata. Lewis Hamilton melengkapkan podium di tempat ketiga dan mengutip 7.5 mata.

Ini adalah perlumbaan F1 pertama yang memberikan separuh mata sejak Grand Prix Malaysia pada 2009 dan juga menjadi perlumbaan F1 terpendek dalam sejarah yang mengiktiraf pemenang. Sebelum ini, Grand Prix Australia pada 1991 berlangsung sebanyak 14 pusingan.

Keputusan ini juga menyaksikan kelebihan Hamilton di tangga teratas kedudukan pemandu telah dikurangkan kepada tiga mata menjelang Grand Prix Belanda di Zandvoort minggu hadapan.

Daniel Ricciardo diberikan kedudukan keempat dihadapan Sebastian Vettel dan Pierre Gasly manakala pemenang Grand Prix Hungary, Esteban Ocon menamatkan perlumbaan di tangga ketujuh untuk Alpine.

Verstappen diisytiharkan sebagai pemenang.

Dua pemandu Ferrari, Charles Leclerc dan Carlos Sainz di kedudukan kelapan dan kesepuluh manakala Nicolas Latifi kesembilan sekaligus memberikan Williams mata berganda dalam dua perlumbaan berturut-turut.

Keputusan Grand Prix F1 Belgium:

1. Max Verstappen – Red Bull
2. George Russell – Williams
3. Lewis Hamilton – Mercedes
4. Daniel Ricciardo – McLaren
5. Sebastian Vettel – Aston Martin
6. Pierre Gasly – Alpha Tauri
7. Esteban Ocon – Alpine
8. Charles Leclerc – Ferrari
9. Nicolas Latifi – Williams
10. Carlos Sainz – Ferrari
11. Fernando Alonso – Alpine
12. Valtteri Bottas – Mercedes
13. Antonio Giovinazzi – Alfa Romeo
14. Lando Norris – McLaren
15. Yuki Tsunoda – Alpha Tauri
16. Mick Schumacher – Haas
17. Nikita Mazepin – Haas
18. Lance Stroll – Aston Martin
19. Kimi Raikkonen – Alfa Romeo
20. Sergio Perez – Red Bull


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: