Bola Sepak

Pengadil Malaysia Suhaimi adili final Piala Dunia Bola Sepak Pantai 2021


SUHAIMI Mat Hassan yang telah dilantik sebagai Pengadil Utama bagi aksi Final Piala Dunia Bola Sepak Pantai 2021 yang menemukan tuan rumah, Russia dan Jepun di Luzhniki Beach Soccer Arena, Moscow, 12.30 tengah malam ini (waktu Malaysia).

Suhaimi, 45, selaku Pengadil Utama perlawanan itu nanti akan dibantu oleh Sofien Benchabane dari Perancis sebagai Pengadil Kedua, Gionni Matticoli dari Itali sebagai Pengadil Ketiga, Hany Farouk dari Mesir sebagai Penjaga Masa dan Turki Al Salehi dari Oman sebagai Pengadil Simpanan.

Sepanjang kejohanan berlangsung sejak 19 Ogos lalu, Suhaimi yang merupakan antara empat pengadil dari Asia pada edisi kali ini telah menjadi Pengadil Utama bagi perlawanan Kumpulan C, Belarus menentang El Salvador serta sebagai Pengadil Kedua bagi perlawanan Kumpulan D, Portugal bertemu Senegal dan perlawanan Kumpulan C, El Salvador lawan Switzerland.

Beliau turut bertugas sebagai Pengadil Ketiga pada aksi suku akhir di antara Senegal dan Brazil.

Ini merupakan pentas Piala Dunia Bola Sepak Pantai kali kelima buat Suhaimi yang sebelum ini telah mengadili empat edisi Piala Dunia Bola Sepak Pantai pada tahun 2011 di Itali, 2013 di Tahiti, 2015 di Portugal dan 2019 di Paraguay.

Pada edisi 2019 itu juga beliau terpilih bertugas pada aksi final yang menemukan Itali dan Portugal sebagai Pengadil Simpanan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin turut sama mengucapkan tahniah kepada Suhaimi dan berharap agar beliau dapat menjalankan tugasnya dengan baik dalam mengendalikan aksi final nanti.

Manakala Timbalan Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S. Sivasundaram pula melihat ia sebagai satu pengiktirafan kepada pengadil dari Malaysia dan juga pencapaian terbaik secara peribadi yang mampu meningkatkan lagi profil Suhaimi dalam bidang pengadilan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading