Bola Sepak

Tambah pasukan LS: FAM nafi pernah bincang dengan Faizal


Stuart Ramalingam

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan kenyataan Menteri Belia dan Sukan baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai pertambahan jumlah pasukan dalam Liga Super.

Merujuk kepada satu video yang telah tular di media sosial pada Ahad, FAM  menyatakan bahawa perkara tersebut tidak pernah dibincangkan langsung secara rasmi atau tidak rasmi oleh Persatuan ini, sama ada menerusi Presiden atau Setiausaha Agung dengan mana-mana pihak lain.

“FAM juga ingin memaklumkan bahawa segala keputusan atau ketetapan bagi jumlah pasukan yang beraksi pada saingan Liga Super dan Liga Premier serta penentuan jumlah pasukan yang turun dan naik bagi kedua-dua liga berkenaan adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa Malaysian Football League (MFL) dan ahli-ahli lembaga pengarahnya,” jelas Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan lewat petang Ahad.

Stuart bakal memulakan tugas baharu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)  MFL bermula 1 September ini.

Video tersebut tular selepas Faizal menjawab persoalan sama ada Perak FC akan terselamat daripada tersingkir ke Liga Premier musim depan selepas aksi buruk sepanjang musim ini.

“Pertamanya KBS (Kementerian Belia dan Sukan) tak ada kuasa nak buat apa-apa, terpulang kepada MFL. Tapi kita kawan baik dengan MFL, saya dengan CEO baharu Stuart kawan baik, dengan Datuk Hamidin pun saya boleh cakap.

“Baru-baru ini pun kita ada bincang, Datuk Hamidin dengan Stuart memang ada pandangan nak naikkan (jumlah pasukan Liga Super) kepada 16 pasukan. Sebab ini selari dengan apa yang Fifa tetapkan. Selama ini kita tak ikut Fifa tapi sekarang mungkin terpaksa buat macam itu.

“Kalau berlaku selamatlah Perak, kalau tak berlaku, sakit kepala sikit sebab benda tak pernah berlaku (jatuh liga).

“Masalahnya jika Perak turun liga, PFC II pun akan turun liga, tak boleh berada dalam satu liga, jadi ia juga satu masalah. Jadi kita doakan InsyaAllah saya akan cakap dengan Datuk Hamidin dan Stuart,” kata Faizal.

Faizal merupakan bekas Menteri Besar Perak dan pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa).

Perak FC kini berada di tangga tercorot liga dengan hanya 13 mata daripada 20 perlawanan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading