Paralimpik Tokyo 2020

PM mahu lagu Negaraku lebih kerap berkumandang dan Jalur Gemilang berkibar di Tokyo

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Ismail Sabri memberikan amanat kepada barisan atlet Paralimpik yang bakal memburu kejayaan di Tokyo 2020.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu lebih banyak lagu Negaraku berkumandang dan Jalur Gemilang berkibar di temasya Paralimpik Tokyo 2020 yang bakal dibuka secara rasmi hari ini dan berakhir 5 September nanti.

Jelasnya, jika di Rio sebelum ini kontinjen Malaysia meraih tiga emas dan satu gangsa tidak mustahil bilangan ini akan bertambah pada temasya di negara Matahari Terbit itu.

“Tiga kali lagu Negaraku berkumandang di Rio sebelum ini  jadi untuk di Tokyo pula kami mengharapkan kekerapan lagu Negaraku berkumandang dan Jalur Gemilang berkibar ,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika memberikan amanat kepada atlet dan kontinjen Paralimpik Malaysia yang ketika ini berada di Tokyo, secara maya, sebentar tadi.

Ismail Sabri berkata, kepercayaan dan harapan disandarkan kepada barisan atlet yang akan berjuang dalam usaha mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Atlet Paralimpik juga mempunyai semangat yang tinggi dalam perjuangan mereka, semua atlet yang pergi bukan untuk diri sendiri tetapi mewakili negara dan kita tertunggu untuk melihat bendera Malaysia dikibarkan dan lagu Negaraku berkumandang.

“Semua latihan yang diberikan selama ini tiada sebab kita tidak boleh berjaya, Kita adalah Keluarga Malaysia dan kamu semua (atlet) yang juga Keluarga Malaysia perlu naikkan nama Malaysia di Tokyo. Selamat berjaya saya ucapkan buat semua,” tegasnya.

Malaysia akan diwakili 22 atlet para dalam sembilan jenis sukan pada Paralimpik kali ini, selepas berjaya meraih tiga pingat emas dan sebutir gangsa, semuanya menerusi olahraga pada edisi lepas di Rio 2016, yang juga pencapaian terbaik kontinjen Malaysia di temasya itu sejak 1972.

Bagi edisi kali ini, kontinjen negara diletakkan sasaran untuk membawa pulang tiga pingat emas.

 

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: