Bola Sepak

KDA FC dapat bonus di Kuala Terengganu


Ataya (kanan) menjaringkan gol pertama membantu kemenangan pasukan .

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Shahrin Sahak menyifatkan kejayaan membawa pulang tiga mata dari Kuala Terengganu adalah bonus buat semua pemain yang bekerja keras memberikan aksi terbaik buat pasukan.

Tegasnya, mereka hadir dengan penuh waspada dengan sasaran membawa pulang mata selepas hanya memiliki rehat yang agak pendek berbanding Terengganu FC.

“Satu mata perlu dibawa pulang, sebagaimana saya maklumkan sebelum ini itu adalah sasaran kita dan jika menang ia adalah bonus yang sangat penting buat pasukan.

“Semua pemain beraksi mengikut perancangan dan kerja keras hingga wisel penamat,” ujarnya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Aidil berkata, bukan mudah berdepan tuan rumah yang memiliki rehat secukupnya namun pemainnya bijak mengawal permainan dan memanfaatkan peluang yang ada.

“Bola sepak adalah 90 minit, kita kena faham pasukan yang bagus perlu rebut peluang yang ada dan kami berjaya lakukannya,  45 babak kedua kami bermain dengan penuh hati-hati dan pemain tahu bila nak bertahan serta menyerang.

“Kemenangan berharga buat pasukan atas kerja keras yang mereka pamerkan,” katanya.

Dua gol dihasilkan pada setiap babak menerusi Rabih Ataya dipenghujung babak pertama serta gol kedua hasil jaringan Mohd Syazwan Zainon selang lima minit babak kedua bersambung memastikan tiga mata mutlak buat pelawat.

Gol tunggal tuan rumah pula diperolehi menerusi sepakan percuma David Da Silva pada minit ke-69.

Kemenangan ini meletakkan KDAFC di tangga keempat dengan 32 mata selepas 16 perlawanan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading