
LUAHAN HATI DARIPADA MOHD FARIQ
SURAT TERBUKA KEPADA PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-9, YAB DATUK SERI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
ASSALAMUALAIKUM W.B.T dan salam sejahtera kepada Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Bin Yaakob.
Semoga Datuk Seri Ismail Sabri sentiasa berada dalam rahmat Allah S.W.T dan memperoleh limpah kurnia daripadaNya.
Datuk Seri,
Pertama saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan selepas terpilih menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan.
Saya menaruh keyakinan bahawa Datuk Seri juga memiliki keupayaan dan kualiti tersendiri untuk memimpin negara tercinta kembali harmoni sedia kala.
Datuk Seri,
Warkah ini saya ingin tujukan kepada Datuk Seri di mana saya berhasrat untuk berkongsi polemik yang sedang berlaku di dalam industri sukan tanah air kita.
Saya yakin bahawa Datuk Seri arif tentang permasalahan yang berlaku terutama membabitkan pengusaha padang komersial, futsal, badminton dan lain-lain sukan yang melibatkan aktiviti sentuhan sedang berdepan ‘gulung tikar’ dalam pandemik Covid-19 ini.
Saya juga mahu berterima kasih di atas sumbangan Datuk Seri ketika menjadi Menteri Kanan Pertahanan di mana Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih membenarkan Liga Malaysia berjalan seperti biasa.
Bagaimanapun nasib kurang baik menimpa terhadap pengusaha sukan-sukan yang saya sebut awal tadi kerana majoriti perniagaan mereka terjejas disebabkan prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sepanjang mengenali karakter Datuk Seri, saya arif dengan kebolehan Datuk Seri yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan tahu apa sentimen sukan di mata rakyat.
Secara peribadi sepanjang saya mengenali Datuk Seri, Datuk Seri sememangnya memiliki karakter cukup mesra dengan semua orang.
Apatah lagi Datuk Seri tidak sombong atau bongkak dan jika terlambat menjawab mesej atau panggilan telefon, Datuk Seri sendiri menjadi orang yang pertama meminta maaf dan saya sendiri juga ada pengalaman tersebut dengan Datuk Seri.
Mungkin juga ramai tidak tahu bahawa Datuk Seri bersama mantan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah memainkan peranan penting untuk mendapatkan maklumat serta mendengar permasalahan yang berlaku sebelum menjadi pengantara kepada pihak kerajaan dengan membela survival golongan industri ini dapat diteruskan.
Sebagai contohnya saya tahu bahawa Datuk Seri dan Reezal Merican telah menyokong sepenuhnya untuk meneruskan pertandingan TM Piala Malaysia 2020 dalam mesyuarat khas menteri-menteri.
Dalam mesyuarat itu, Ismail Sabri dan Reezal Merican menjadi penyokong bola sepak apabila memperjuangkan kenapa pertandingan tertua di Asia Tenggara itu harus diteruskan.
Begitu pun keputusan majoriti menteri tidak memihak kepada mereka berdua selain pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi penentu status TM Piala Malaysia 2020 tetap tidak dapat diteruskan sekali gus Liga Malaysia tidak menutup tirai dengan gayanya.
Datuk Seri,
Saya amat berharap MKN turut berprihatin terhadap industri bola sepak negara seperti pengusaha perniagaan sukan terutama padang komersial dan futsal negara di mana golongan ini juga antara salah satu faktor kekuatan ekonomi bola sepak tempatan dan saya menganggap mereka juga perlu diberikan kebenaran untuk meneruskan kelangsungan hidup selaras pematuhan SOP dalam pandemik Covid-19.
Saya fikir permintaan ini tidaklah terlalu melampau memandangkan rakyat kini sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan masing-masing.
Jika dahulu permohonan ini mungkin perlu ditimbang tara tetapi dengan kedudukan Datuk Seri sekarang sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri adalah tempat yang terbaik untuk diluahkan permasalahan sekarang.
Malah dengan rekod statistik rakyat yang menerima suntikan vaksin cukup positif di mana saya percaya kelonggaran kepada pengusaha perniagaan sukan harus dinilai sebagaimana beberapa sektor lain telah pun dibuka.
Saya yakin bahawa dua tahun kebelakangan ini menjadi tahun paling sukar buat setiap sektor industri termasuk sukan selepas dikejutkan pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia sejak akhir Februari tahun lalu.
Kita semua dapat melihat betapa kerajaan Malaysia berusaha keras untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan melaksanakan PKP bermula Mac lalu demi kesejahteraan rakyat .
Namun di sebalik keberkesanan sistem PKP dalam membanteras penularan wabak tersebut, seluruh sektor industri tetap berdepan masalah kewangan kritikal dan sukan bola sepak tidak terkecuali dalam perkara ini.
Suka atau tidak, inilah norma baharu yang harus diterima oleh rakyat termasuk pemimpin di mana kehidupan harus diteruskan dan sumber pendapatan mereka haruslah dibela.
Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa inilah masa terbaik buat pendukung sukan tempatan menagih pihak kerajaan agar dapat melakukan sesuatu untuk membantu pengusaha-pengusaha perniagaan sukan yang semakin lama semakin merosot.
Datuk Seri,
Saya percaya bahawa Datuk Seri harus meneruskan kesinambungan program-program yang telah ditinggalkan mantan Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican.
Survival sukan negara diibaratkan seperti telur di hujung tanduk selepas menyaksikan banyak kejohanan domestik tahun lalu terpaksa dibatalkan disebabkan wabak Covid-19.
Namun Reezal Merican memainkan peranannya sebagai orang penting dalam industri sukan mula mengatur pelan rancangan dengan mencari mekanisme terbaik bagi menghidupkan survival sukan dalam tempoh pandemik Covid-19.
Reezal Merican sekali lagi memainkan peranan penting apabila beliau sendiri mendapatkan maklumat serta mendengar permasalahan yang berlaku sebelum menjadi pengantara kepada pihak kerajaan dengan membela survival golongan industri ini dapat diteruskan.
Malah Reezal Merican juga sempat berkongsi pendapat dengan beberapa penyokong sukan seperti bola sepak di mana beliau mendedahkan sebelum ini KBS sedang berusaha keras untuk mengemukakan rayuan agar penyokong dibenarkan ke stadium kepada pihak kerajaan.
Tidak dilupakan disebabkan jasa Reezal Merican juga menyaksikan Skim Pembiayaan Sukan (Tekun Sukan) diperkenalkan sebagai inisiatif sokongan sektor sukan dan rekreasi khusus untuk membantu pengusaha atau operator fasiliti yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 dengan menyediakan pembiayaian suntikan modal pusingan atau tambahan bagi memulihkan dan memulakan semula perniagaan yang terjejas.
Lebih tepat Datuk Seri, saya percaya bahawa rakyat berharap Reezal Merican akan kembali menjadi Menteri Belia dan Sukan dan saya berharap Datuk Seri sebagai Perdana Menteri dapat menunaikan hasrat kami yang sudah pasti permintaan itu tidak agak keberatan.
Sudah lumrah manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan dan saya percaya Datuk Seri akan memanfaatkan peluang ini untuk memperbaikinya kembali harmoni dan bersatu untuk rakyat Malaysia.
Malah saya juga percaya bahawa Datuk Seri menyedari bahawa sukan adalah platform terbaik untuk menyatukan rakyat dan segala bantuan Datuk Seri kepada semua golongan industri bakal menjadi inspirasi kepada kami semua.
Datuk Seri,
Saya berharap Datuk Seri sudi dengar luahan ini.
Ini kerana surat ini mewakili rakyat di seluruh negara dan pinta kami supaya bantu pengusaha-pengusaha perniagaan tempatan kembali hidup dalam industri.
Saya percaya bahawa permintaan ini bukanlah satu perkara yang mustahil kerana ia bukan semata-mata mahu melanggar SOP sebaliknya menuntut keadilan buat mereka yang berada dalam industri ini.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri yang sudi mengambil masa untuk membaca surat terbuka ini.





Add Comment