Bola Sepak

Selepas 10 tahun, Steffi dipanggil bantu skuad bola sepak wanita negara, “Mental kena ready”


Foto: Instagram Steffisiddhu

Oleh: SURYATI MOHD NOR

SEDEKAD meninggalkan aksi bola sepak padang, Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh kembali dipanggil menyertai pemilihan skuad kebangsaan menjelang Kelayakan Piala Asia Wanita 2022.

Pemain berusia 33 tahun ini kali terakhir menyarung jersi negara pada 2011 dan selepas itu dia hanya aktif dalam acara futsal yang turut menyaksikan dia bermain untuk skuad kebangsaan.

Menurutnya, satu penghargaan apabila dipanggil oleh ketua jurulatih Harimau Malaya skuad wanita, Jacob Joseph yang masih percaya dengan dirinya.

Steffi aktif menjalani aktiviti kecergasan termasuk berbasikal dan berlari. Foto: Instagram Steffisidhu

“Saya dikira pemain baharu dalam pasukan ini walaupun bergelar pemain kebangsaan pada 2007. Memang rata-rata pemain lain masih muda dan saya harap dapat membantu pasukan nanti.

“Bagaimana pun panggilan ini bukan bermakna saya sudah sah terpilih kerana perlu bekerja keras dalam tempoh latihan ini dijalankan.

“Dari segi kecergasan saya tidak mempunyai masalah memandangkan selalu menjalani latihan fizikal sendiri, cuma perlu cepat menerima corak taktikal jurulatih Jacob,” kongsinya kepada Cakap Sukan.

Mengenai pasukan lawan dalam aksi Kumpulan H nanti, Steffi mengakui tugas berat bertemu Thailand dan tuan rumah, Palestin.

“Kita semua tahu pencapaian Thailand di peringkat Asia, tetapi rekod itu seharusnya tidak boleh mengganggu mental kita semua.

“Apa yang penting mental semua pemain kena bersedia dan bersikap positif dan selepas itu baharu dapat mempamerkan aksi yang baik. Kalau awal-awal lagi dah ada perasaan takut, pastinya susah untuk bermain.

Steffi juga merupakan pemain Footgolf negara. Foto: Instagram Steffisidhu

“Manakala Palestin pula, kita tidak pernah berdepan dengan mereka, tetapi saya percaya pasukan ini juga tidak boleh dipandang mudah,” jelasnya.

Pada Jumaat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan 28 senarai pemain yang dipanggil Jacob untuk menjalani latihan secara kuarantin bermula hari ini (Sabtu) sehingga 14 September.

Selepas itu mereka akan terbang ke Palestin bagi mengharungi pusingan kelayakan bermula 19 – 25 September ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading