Bola Sepak

Perak FC akui berdepan tugas getir di laman sendiri


Barisan pemain Perak FC perlu buktikan kemampuan untuk bangkit meraih kemenangan.

PEMANGKU ketua jurulatih Perak FC, Mohd Shahril Nizam Khalil berharap dua pemain utama yang mengalami demam berpanjangan akan segera sembuh untuk diturunkan menjelang aksi Liga Super menentang Selangor FC, esok.

Muhammad Firdaus Saiyadi dan Rafiuddin Roddin antara pemain yang masih lagi belum sembuh sepenuhnya daripada demam yang dialami sejak beberapa hari lalu menyaksikan Shahril terpaksa bersedia dengan sedikit rombakan untuk berdepan Selangor nanti.

Jelasnya, ia merupakan satu tamparan kerana ada beberapa pemain lain yang masih mengalami demam yang berlarutan, kadang-kadang ada sampai tiga hari, lima atau ke enam hari, jadi agak merisaukan.

“Jadi, saya harap mereka akan pulih seperti sediakala sebab apabila mereka demam, kita terus lakukan Swab Test (Ujian Calitan), dan kalau berlarutan lagi, memang kita akan terus lakukan ujian.

“Tetapi, saya percaya mereka akan sempat untuk bersedia beraksi menentang Selangor nanti sebab kita tahu mereka bukanlah calang-calang pasukan.

“Pemain seperti Ifedayo Omosuyi akan sentiasa menjadi ancaman kepada kami, tetapi saya katakan kepada pemain untuk tidak berputus asa dan cuba juga mencuri mata dalam aksi pada Sabtu ini,” jelasnya.

Ditanya tekanan digalas selepas menggantikan ketua jurulatih, Chong Yee Fatt pada baki saingan musim ini, Shahril menganggap ia sebagai satu proses pembelajaran untuknya cuba membawa pasukan ini ke tahap yang lebih baik.

“Saya tahu tugas ini bukan mudah, apatah lagi mengambil alih pasukan dalam keadaan pasukan sedang bergelut, tetapi saya anggap ini sebagai satu proses pembelajaran.

“Cuma, walaupun ia proses pembelajaran untuk saya, bukan bermakna kalau pasukan ini tewas ke, saya akan gunakan alasan itu sebab macam-macam mana sekalipun, saya akan cuba sedaya yang mungkin untuk cuba memperbaiki prestasi pasukan ini”, tambahnya.

Perak FC ketika ini masih kemarau kemenangan sejak enam perlawanan lalu untuk mereka kini berada di tangga ke-11 Liga Super dengan hanya 13 mata setakat ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: