Bola Sepak

Trio Gergasi Merah Kuning kembali


Khairulazhan (kiri) dilihat mula menjalani latihan bersama Shahrel Fikri. (Foto : SelangorFC).
SELANGOR FC bakal berkunjung ke Stadium Perak malam esok dengan barisan terkuat selepas beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan telah kembali berlatih bersama rakan sepasukan.
Penjaga gawang utama Selangor FC, Khairulazhan Khalid, pertahanan tengah import, Tim Heubach dan pemain tengah muda, Aliff Haiqal Lau antara beberapa pemain yang bakal diturunkan beraksi menentang Perak FC ,malam esok.
Pastinya perkhabaran ini memberikan kelegaan buat pengendali Gergasi Merah, Karsten Neitzel setelah sebahagian pemain SFC yang tidak dapat disenaraikan pada perlawanan menentang Kedah DA FC tempoh hari kini sudah pasti hampir mendapat kecergasan yang diperlukan.
Menerusi perkongsian laman rasmi Selangorfc.com, sebahagian pemain Selangor FC yang sedang menjalani pemulihan sudah menunjukkan perkembangan positif di bawah seliaan ahli fisio pasukan Gergasi Merah, Helber Richard.
“Pemain pertahanan tengah import Selangor FC, Tim Heubach mengalami kecederaan kaki kanan sejak beberapa minggu lalu kini telah kembali berlatih bersama pasukan namun masih dalam pemerhatian unit fisioterapi SFC.
“Dalam perkembangan lain, pemain tengah muda, Aliff Haiqal Lau yang mengalami kecederaan di hamstring kiri semasa perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) kini sudah dilepaskan dari unit fisioterapi dan sedang menjalani program pemulihan dan kecergasan dan berkemungkinan besar akan kembali bersama pasukan pada minggu hadapan.
Penjaga gawang utama Selangor FC, Khairulazhan Khalid yang mengalami kecederaan hamstring sebelum perlawanan Kedah Darul Aman FC baru-baru ini juga sudah kembali ke pangkuan pasukan,” jelasnya.
Tiga lagi pemain tonggak Gergasi Merah yang sedang menjalani sesi pemulihan bersama pegawai fisio Selangor FC seperti Halim Saari, Shahrel Fikri dan kapten pasukan, Brendan Gan dijangka bakal kembali selepas tamat musim ini.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading