Bola Sepak

Presiden MFL ada misi perlu dijayakan


Ab Ghani mahu memastikan proses perjalanan Liga Malaysia musim ini berjalan seperti yang dirancang.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PRESIDEN Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan mahu memastikan perjalanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini tidak berhadapan sebarang masalah dan berjalan mengikut perancangan.

Berbaki sekurang-kurangnya empat perlawanan dalam saingan Liga Super dan Liga Premier serta n Piala Malaysia yang bakal menjelma , cita-cita itu nampak mudah dilaksanakan namun hakikatnya situasi terbabit cukup mencabar terutama perlu berdepan penangguhan perlawanan selain pandemik Covid-19.

Jelasnya, sebaik diumumkan sebagai Presiden MFL, sudah tentu cita-citanya mahu mengangkat martabat badan pengurusan liga itu pada tahap lebih tinggi pada masa akan datang.

“Dalam keadaan pandemik, saya harus pastikan Liga M dapat dijalankan sebaik mungkin dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang diharungi MFL seperti yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Paling penting adalah supaya Liga M dan Piala Malaysia pada musim ini dapat dihabiskan dan untuk musim 2022, kita mahu Piala FA dapat kembali dimainkan seperti sebelum ini.

“Saya juga bertanggungjawab dalam menentukan sumber kewangan iaitu penajaan dapat diperolehi untuk kita jalankan liga musim 2022. Saya akan berusaha keras seperti presiden terdahulu,” katanya pada sidang media secara maya,  hari ini.

Ab Ghani dilantik sebagai Presiden MFL yang baharu menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin yang meletakkan jawatannya pada 12 Ogos lalu.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: