Bola Sepak

MFL umumkan CEO baharu minggu depan


Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PERSOALAN individu mana yang bakal dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan terjawab semasa mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL yang akan diadakan Isnin minggu depan.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, MFL akan membuat keputusan dalam mesyuarat berkenaan yang bakal diadakan Isnin nanti.

“Ketika ini saya turut menjadi CEO interim untuk menjalankan tugas harian MFL tanpa henti semasa operasi liga dijalankan. Ada beberapa nama yang akan dibincangkan pada mesyuarat, Isnin nanti.

“Insyallah 23 Ogos nanti, semuannya akan terjawab, mungkin ada satu atau dua nama bagi jawatan berkenaan, apa pun tunggu sahaja pengumuman rasmi dari MFL, Isnin nanti,” jelasnya pada sidang media secara maya, sebentar tadi.

Jawatan CEO MFL kosong ekoran penyandangnya sebelum ini iaitu Datuk Ab Ghani dilantik sebulat suara selaku Presiden MFL baharu menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin yang meletakkan jawatannya pada 12 Ogos lalu.

Difahamkan dua nama yang menjadi bualan hangat ketika ini ialah perunding teknikal pertandingan dan liga profesional Persatuan Bolasepak Oman (OFA, Saifuddin Abu Bakar dan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),Stuart Ramalingam.

Kedua-dua individu berkenaan cukup mahir dengan selok belok bola sepak Malaysia dan itu sudah pastinya antara kriteria utama buat MFL memilih CEO baharu.

Namun Saifuddin mungkin calon hangat berdasarkan kepada kejayaannya membantu melancarkan Liga Profesional Oman pada 2013 yang menyaksikan terdapat 14 kelab profesional beraksi di liga utama negara berkenaan.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading