Bola Sepak

Sarawak United kembali terajui Liga


Pemain import SUFC, Uche Agba menjaringkan gol ketiga pasukan pada minit ke-67 .

SARAWAK United bangkit daripada ketinggalan seawal permainan untuk meraih kemenangan 4-1 ke atas Perak FC II pada aksi tunggal Liga Premier di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras di sini, malam tadi.

Lebih menggembirakan, tiga mata yang diraih Sarawak United ini memastikan mereka  memintas dua pasukan untuk merampas kedudukan teratas liga dengan mengumpul 31 mata sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk mewarnai saingan Liga Super musim depan.

Pada aksi yang berlangsung dalam keadaan padang licin, Sarawak United  dikejutkan dengan gol pembukaan pasukan pelawat pada minit pertama menerusi pemain tengah Royizzat Daud yang menyambar bola hasil sepakan percuma Khairul Syafiq Mustaffa dan menewaskan penjaga gawang tuan rumah.

Penyerang skuad kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol penyamaan Sarawak United pada minit ke-35 selepas menanduk bola hantaran lintang rakan sepasukan untuk menyaksikan 45 minit pertama berakhir dengan kedudukan 1-1.

Babak kedua pula memperlihatkan Sarawak United tampil lebih bertenaga dengan melancarkan gerakan memburu gol kedua dan berhasil apabila pertahanan lawan, Muhammad Syafiq Izzudin Mustafa tertampan bola yang diselamatkan penjaga gol ke gawang sendiri pada minit ke-53.

Pemain import Uche Agba menambah derita Perak FC II pada minit ke-67 dengan meletakkan Sarawak United selesa mendahului 3-1 sebelum pemain gantian Abdul Rahim Abdul Razak malam gemilang pasukannya menerusi gol pada minit ke-88 .

Skuad diberi jolokan Kenyalang Emas itu turut mempunyai kelebihan apabila kini mengungguli saingan liga dengan kurang satu perlawanan berbanding pencabar terdekat Terengganu FC II di kedudukan kedua yang mengutip 29 mata selepas 16 perlawanan.


Add Comment

Click here to post a comment