
TERENGGANU FC II akan mempertaruhkan penyerang muda tempatan bagi merobek gawang Kuching City FC (KCFC) menjelang aksi getir di Stadium Petra Jaya, Kuching malam esok.
Wan Mohamad Fazli dan Muhammad Izzan Syahmi antara penyerang muda yang bakal menjadi taruhan pengendalinya, Badrul Afzan Razali selepas kehilangan ayam tambatannya, Jordan Mintah yang masih lagi dibelenggu kecederaan.
Jelasnya, dia tetap menaruh harapan tinggi dan meletak kepercayaan penuh kepada penyerang muda seperti Wan Mohamad Fazli dan Muhammad Izzan Syahmi yang turun dalam dua perlawanan sebelum ini.
“Persembahan mereka memang agak sukar kerana kita selalunya mengharapkan Mintah, tetapi saya yakin pada perlawanan ketiga di Kuching nanti mereka akan beri yang terbaik,” ujarnya.
Mengenai lawan yang bakal ditentang, Badrul Afzan akan memikirkan taktikal sesuai bagi menyekat kemaraan skuad bimbingan Irfan Bakti yang merupakan jurulatih berpengalaman dan disegani dalam arena bola sepak tanah air.
“Ini adalah perlawanan pertama KCFC setelah berehat panjang dan pastinya mereka amat dahagakan kemenangan.
“Saya juga dimaklumkan mereka mempunyai penyerang import baharu yang bagus iaitu Ijezie Michael Chukwubunna dan pastilah ia suatu kelebihan buat skuad KCFC,” katanya.
Perlawanan antara TFC ll dan KCFC yang sepatutnya berlangsung pada Julai lalu, terpaksa ditunda dua kali selepas beberapa pemain KCFC didapati positif Covid-19.
Add Comment