Bola Sepak

Ab Ghani ganti Hamidin


Ab Ghani dilantik selaku Presiden MFL menggantikan Hamidin yang meletakkan jawatannya.

KETUA Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dipilih sebagai Presiden MFL baharu menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin.

Pelantikan itu dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL hasil daripada Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini selepas menerima surat peletakan jawatan daripada Datuk Haji Hamidin bertarikh 12 Ogos 2021.

Ahli Lembaga Pengarah MFL, Joehari Ayub berkata, mesyuarat berkenaan secara dalam talian, kesemua tujuh Ahli Lembaga Pengarah yang bersidang sebulat suara bersetuju dengan pelantikan Dato’ Ab Ghani.

Joehari berkata, beliau bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL menghormati keputusan Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melepaskan jawatannya dan percaya Ab Ghani dapat mengisi kekosongan itu dengan baik berdasarkan pengalaman luas dalam pengurusan bola sepak.

“Hamidin telah mengotakan janjinya di mana beliau sendiri telah menyatakan untuk melepaskan jawatan Presiden MFL ketika berucap dalam Kongres FAM ke-57 pada Mac lalu.

“Kami barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL mengakui sedih dengan keputusan ini tetapi kita harus menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hamidin. Kami amat berterima kasih di atas segala sumbangan dan komitmen tinggi yang diberikan oleh Datuk Haji Hamidin sepanjang menerajui MFL.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL telah membuat keputusan untuk memilih Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Ab Ghani sebagai presiden baharu bagi menggantikan ketiadaan Hamidin,” jelasnya yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Hamidin mengotakan janjinya meletakkan jawatan dan memberi tumpuan penuh kepada FAM.

Hamidin dipilih sebagai Presiden MFL selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melepaskan jawatan selaku Pengerusi MFL pada September 2019.

Ab Ghani pula telah bersama dalam pengurusan tertinggi MFL sejak 17 April 2019 apabila dipilih menjadi Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Beliau kemudian dilantik sebagai CEO MFL pada 1 Mac 2020 di mana sebelum itu beliau hanya bertindak sebagai pemangku CEO MFL secara sementara pada 1 Disember 2019 susulan peletakan jawatan Kevin Ramalingam.

Ab Ghani yang merupakan bekas pemain Negeri Sembilan kini menjadi individu keempat yang dipilih sebagai Presiden MFL selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah, Tunku Ismail dan Datuk Haji Hamidin.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading