Olimpik 2020

“Dalam Olimpik banyak kejutan, teruskan fokus kepada Pandelela”


Pandelela bakal beraksi di pentas separuh akhir pada Khamis.

Oleh: SURYATI MOHD NOR

“DALAM Olimpik banyak kejutan”, demikian ulas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Reezal mengulas mengenai prestasi penerjun negara, Cheong Jun Hoong yang terkandas di pusingan kelayakan 10 meter (m) platform wanita individu apabila berada dalam kedudukan ke-26 dengan mengumpul 251.80.

“Saya tak dapat nak simpulkan prestasi Jun Hoong. Sememangnya dia berdepan dengan kecederaan sejak 2018 namun dia layak ke Olimpik selepas meraih tempat pertama Piala Dunia FINA dengan 345 mata.

“Jadi keputusan hari ini jauh daripada prestasi sebenar beliau. Walau apa pun let’s us fokus kepada Pandelela. Mudah-mudahan dia layak ke peringkat akhir,” ujarnya dalam satu rakaman video kepada media pada Rabu.

 

Pandelela Rinong yang menjadi sandaran untuk meraih pingat dalam acara ini berada di kedudukan ke-18 sekaligus layak pusingan separuh akhir yang akan berlangsung esok (Khamis).

Pemenang pingat gangsa acara yang sama di London 2012 berdepan dengan saingan sengit daripada penerjun-penerjun lain dengan mengumpul 284.90 mata.

Seramai 18 penerjun terbaik akan bertanding pada separuh akhir pada pukul 9 pagi (waktu Malaysia) pada Khamis sebelum 12 penerjun terbaik akan bertanding pada peringkat akhir yang dijadualkan pukul 2 petang (waktu Malaysia) pada hari yang sama.

“Saya dapat lihat ramai penerjun hebat. Duo China dan penerjun Amerika Syarikat amat mencabar dan bukan mudah untuk penerjun kita Pandelela untuk dapatkan tempat terbaik.

“Tetapi dalam Olimpik banyak kejutan. Dalam badminton contohnya Kento Momota kepada ranking ke-36 tersingkir awal, pemain tenis dan perenang Tunisia menangi acara 400 meter gaya bebas yang berada di ‘lane’ kelapan tanpa di sangka. Banyak lagi.

“Dan saya tak boleh anggap ini adalah sesuatu yang mereka tidak melakukan yang terbaik. Mereka melakukan yang terbaik.

“Dalam satu bulan setengah kita tidak boleh measure. Tak ada competitive tournament, tak ada penyertaan kejohanan-kejohanan yang boleh mereka tingkatkan daya saingan.

“Banyak atlet dunia terkesan akibat daripada Covid-19 dan tidak terkecuali di kalangan atlet kita.

“Walaupun saya anggap itu satu cabaran, secara umumnya atlet kita secara keseluruhan telah melakukan yang terbaik. Dan sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya mengucapkan berbanyak tahniah dan terima kasih kepada mereka yang telah membawa cabaran negara di bumi Matahari Terbit Tokyo, Jepun ini,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading