
NEGERI Sembilan FC (NSFC) seolah-olah dihambat masalah kehambaran prestasi sebaik Liga Malaysia kembali bersambung pada 24 Julai lalu apabila gagal mencapai sebarang kemenangan dalam dua perlawanan terakhir.
Malah, jentera serangan juga gagal mendapatkan sebarang jaringan apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Selangor 2 dan tewas tipis 0-1 kepada Terengganu FC II.
Hakikat itu tidak dinafikan pemain tengah NSFC , R. Barathkumar yang menganggap kesan rehat terlalu panjang tanpa sebarang perlawanan persahabatan serba sedikit ada menjejaskan momentum pasukan itu yang kini dalam landasan untuk memburu kejuaraan Liga Premier.
Namun, pemain berusia 29 tahun itu tidak mahu menjadikan faktor itu sebagai alasan dan menyatakan dia serta rakan sepasukan sudah bersedia untuk bangkit apabila berdepan Perak FC II.
“ Semasa liga berehat, kami tidak dapat keluar mengadakan perlawanan persahabatan ekoran status PKPD (Perintah Kawalan Perintah Diperketatkan), berbeza dengan kebanyakan pasukan lain.
“ Situasi itu ada bagi kesan buat kami dalam cuba mendapatkan momentum seperti dalam perlawanan sebenar dan memang saya serta rakan-rakan sangat kecewa kerana gagal mencapai sebarang kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini.
“ Saya faham penyokong Negeri Sembilan juga sangat kecewa apabila sekadar seri pada perlawanan pertama kerana sememangnya kami letakkan meraih tiga mata dan selepas itu gagal di Terengganu apabila tewas 0-1 .
“ Jadi dalam dua perlawanan akan datang (Perak FC II dan Skuad Projek FAM-MSN), kami letak sasaran meraih enam mata maksimum bagi mengukuhkan kembali peluang mencabar kejuaraan, ” katanya.
Biarpun sekadar meraih satu mata dari dua perlawanan, NSFC masih kekal di tangga kedua melalui 23 mata, satu sahaja di belakang Sarawak United yang masih mempunyai kelebihan dua perlawanan.
Kekalahan di tangan Terengganu FC II pada 27 Julai lalu merupakan yang pertama selepas lima perlawanan dengan kali terakhir mereka tewas ialah kepada Kelantan United 2-3.
Kehadiran bekas penyerang import KL City, Francis Kone serta beberapa tempatan lain seperti Halim Zainal dan Zulkhairi Zulkeply, belum dapat membantu sementara Arthur Cunha masih dalam proses pulih daripada kecederaan.
NSFC akan bertemu Perak FC II di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada malam ini sebelum bertandang ke Stadium UiTM Shah Alam pada 4 Ogos bagi menentang Skuad Projek FAM-MSN.





Add Comment