
Oleh : SUBKHI SUDARJI
PENERAJU Liga Super 2021, Johor Darul Ta’zim (JDT) kini berpeluang untuk terus melebarkan jurang kelebihan mata dari pencabar terdekatnya, Terengganu FC apabila bakal melayan kunjungan pasukan Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.
Memiliki kelebihan enam mata selepas mudah membenam Selangor FC, 3-1 Rabu lalu serta kekalahan mengejutkan Terenggangu FC, 0-2 kepada Melaka United, Harimau Selatan boleh dianggap sudah memegang sebelah tangan Piala Liga Super buat kali kelapan berturut-turut jika menang ke atas Seladang.
Pada aksi pusingan pertama di Stadium Perak, 21 Mac lalu, JDT hampir menerima kekalahan namun jaringan penalti Leandro Sebastian Velasquez dalam masa kecederaan menyelamatkan pelawat apabila perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Melihat prestasi skuad bimbingan Chong Yee Fatt masih bergelut di dasar liga selain tindakan dua pemain import, Leandro dan Careca yang memohon penamatan kontrak jelas memperlihatkan skuad berkenaan bakal tampil dengan serba tempang.

Namun bagi pengendali JDT, Benjamin Mora mahu pemainnya sentiasa berwaspada dalam setiap perlawanan dan memberikan tumpuan sepenuhnya.
“Tiga mata beri keyakinan kepada pemain. Justeru, kami perlu bersedia untuk berdepan Perak FC apabila mereka turun beraksi di laman kami. Mereka tentunya akan tampil dengan kesungguhan melebihi 100 peratus.
“Kami tidak mahu jadi mangsa kerana mereka (Perak FC) mampu melakar kejutan walaupun pasukan itu berada pada kedudukan bawah kerana ia akan turun beraksi melebihi 150 peratus.
“Kami sedar kemungkinan akan berlaku, jadi kami perlu berhati-hati dan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan,” tegasnya.






Add Comment