Bola Sepak

Gassama dan Zafuan ‘digantung’

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

DUA pemain Kelab Bolasepak Kelantan United (KUFC) Gassama Alfusainey dan Zafuan Azeman yang terbabit dalam insiden pergaduhan sesama sendiri sejurus selepas aksi berdepan Perak FC II di tempat lawan, Rabu lalu tidak akan bersama pasukan ke Larkin , Johor Bahru.

Menerusi kenyataan KUFC di Facebook, dua pemain berkenaan tidak akan memperkuatkan pasukan untuk  berdepan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Ahad ini.

“Kelab tidak akan berkompromi berkaitan disiplin jurulatih, pegawai atau pemain yang membelakangi semangat kesukanan.

“Kami akan menyiasat dengan segera dua insiden berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas jika pemain terbabit didapati melanggar prinsip ‘Fair Play’.

“Justeru itu, atas insiden terbabit, pihak kelab sudah mengambil tindakan drastik dengan menghantar pulang dua pemain terbabit ke Kota Bharu selepas perlawanan.

“Pihak kelab juga turut mengambil maklum berkenaan kad merah yang dilayangkan kepada pemain gantian, Asraff Alifuddin.

“Oleh kerana pihak kelab dan pasukan kini sedang memberi fokus kepada perlawanan ketiga dalam masa tujuh hari di laman lawan menentang JDT II, siasatan penuh insiden dan tindakan yang akan diambil terhadap pemain itu akan dilakukan sekembalinya ke Kota Bharu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, KUFC turut memohon maaf atas tindakan tidak profesional pemain mereka hingga menimbulkan rasa kurang senang penyokong dan peminat bola sepak Kelantan.

Kelab itu berjanji akan menangani insiden terbabit dengan langkah terbaik untuk mengelakkan daripada berlaku lagi pada masa hadapan.

Pada aksi yang berkesudahan dengan KUFC menewaskan Perak II 4-0, Gassama dilayangkan kad merah selepas dilihat bergaduh dengan rakan sepasukannya, Zafuan sebaik pengadil meniup wisel penamat.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: