
PASUKAN Fiji sekali lagi mendominasi acara Ragbi 7 apabila berjaya mempertahankan pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Mereka berjaya menewaskan pencabar sengit, New Zealand 27-12 di pentas akhir pada Rabu.
Namun apa yang menariknya, kejayaan ini tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tiada pesawat kargo yang menghantar mereka ke Tokyo dua minggu lalu.
Selepas hampir lima bulan berkurung di kem latihan gara-gara pandemik Covid-19, malah tidak bertemu dengan keluarga masing-masing hampir 20 minggu, mereka menerima berita bahawa tiada operasi penerbangan komersial keluar dan masuk ke negara Pasifik itu kerana perintah berkurung berikutan penularan Covid-19 sehingga hujung bulan ini.
Dikala pasukan-pasukan lain sudah tiba di bumi Tokyo, kontinjen Fiji seramai 51 orang atlet termasuk pegawai, atlet renang, atlet judo, atlet ping pong dan atlet ragbi lelaki serta wanita terpaksa menunggu untuk mendapatkan pengangkutan menuju ke Tokyo.
Ketua Eksekutif Persatuan Sukan dan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Fiji, Lorraine Mar mendedahkan kontinjen berdepan cabaran logistik dan terpaksa menggunakan pesawat kargo untuk ke Tokyo.
“Kami juga cuba menjemput atlet-atlet yang berada di negara selatan pasifik untuk ke Tokyo, seperti ‘singgah-singgah’ sebelum berlepas dari Nadi ke Narita. Tetapi ia bukan tujuan komersial,” jelasnya.
Bagaimana pun dugaan itu tidak mematahkan semangat ‘The Flying Fijians’ yang dilatih bekas pemain Wales Gareth Barber untuk mengekal pingat emas yang dimenangi pada Sukan Olimpik Rio 2016.
Add Comment