Bola Sepak

Kami masih belum selamat – ZAH


Sony Norde meledak gol pembukaan buat pasukan pada separuh masa pertama.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PENGENDALI Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan menyifatkan tiga mata penuh yang diraih ketika menewaskan Terengganu FC, 2-0 malam tadi masih belum cukup buat pasukannya keluar dari zon penyingkiran.

Tetap memuji aksi anak didiknya, dia melihat masih banyak boleh diperbaiki dan mengharapkan persembahan seumpama  ini diteruskan pada baki saingan Liga Super.

“Tiga mata yang amat penting, perbaiki kedudukan pasukan ketika ini yang kita tahu masih belum selamat sepenuhnya, jadi saya mahu pemain memberikan tumpuan pada perlawanan akan datang.

“Keserasian pemain import dengan tempatan telah ada namun masih belum sepenuhnya, saya percaya mereka mampu memberikan yang lebih baik,” jelasnya.

Pada masa sama, Zainal mengakui barisan pemainnya masih melakukan beberapa kesilapan kecil dan tempoh rehat sebelum aksi seterusnya akan dimanfaatkan untuk memperbaiki kekurangan berkenaan.

“Kita sudah nampak corak permainan pasukan yang sebenar, saling bekerjasama diantara satu sama lain,” tegasnya.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi gol hasil jaringan  Sony Norde pada minit ke-36 dan penyerang import baharu,  Andriano Aparecido Narcizo  (m-76) sudah cukup buat tuan rumah meraih tiga mata penuh.

Sementara itu, Nafuzi Zain menyifatkan kekalahan dan kemenangan dalam bola sepak adalah normal dan menghamburkan pujian buat tuan rumah.

“Bola sepak itu normal , ada menang dan kalah, pemain dah cuba terbaik, rezeki memihak Melaka.

“Permainan tiada masalah, cuma apabila berada dalam kotak penalti lambat membuat keputusan akhir yang tidak tepat itu yang membezakan keputusan perlawanan,” tegasnya.

Kemenangan yang diraih MUFC ini melonjakkan kedudukan ditangga ke sembilan liga dengan mengumpul 15 mata hasil empat kemenangan, enam seri dan lima kekalahan.

Selepas ini MUFC bakal berkunjung ke Stadium KLFA, Cheras menentang Kuala Lumpur City FC, Sabtu ini.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: