Bola Sepak

Jaringan Boboev hampakan UiTM FC


Jaringan sembilan minit sebelum perlawanan berakhir memberikan tiga mata penuh kepada Penang FC. Foto: Penang FC

Oleh: JJFIRDAUS

JARINGAN penyerang Penang FC, Sheriddin Boboev pada minit ke-81 cukup untuk memberikan Penang FC tiga mata penuh dan menambah kehampaan UiTM FC yang masih mencari kemenangan pertama liga.

Penang FC yang baru bermain semula selepas perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC ditangguhkan ekoran dua pemain KDA FC dijangkiti Covid-19 kelihatan agak bergelut untuk beraksi pada tahap terbaik.

UITM FC pula mahu menebus kekecewaan tewas di tangan JDT hujung minggu lalu mempamerkan permainan yang tersusun namun masih hampa dengan penyudahan yang kurang baik.

Anak buah Frank Bernhardt masih gagal mendapatkan kemenangan pertama dan dengan liga yang berbaki tujuh perlawanan, UITM kini semakin tertekan untuk mengelak penyingkiran.

Sementara itu, Penang FC kendalian Thomas Trucha pasti lega dengan keputusan ini kerana mereka pastinya ingin mengintai dua tangga teratas liga yang menawarkan tempat ke Piala AFC tahun depan.

Boboev menjaringkan gol tunggal perlawanan. Foto: Penang FC

Bercakap kepada media selepas perlawanan, Bernhardt nyata kecewa dengan keputusan ini dan menyatakan punca kekalahan adalah kerana kesilapan individu dan kegagalan mereka menjaringkan gol.

Sementara itu penolong jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira berpuas hati dengan persembahan para pemain yang berjaya mengikut arahan dan berdisiplin mengekang asakan UITM FC yang akhirnya memberikan kemenangan 1-0 buat Penang FC.

Dengan kemenangan ini Penang FC kekal di tangga keempat dengan 25 mata dan bakal melayan kunjungan Selangor FC di Stadium Bandaraya manakala UITM FC berehat kerana perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC ditangguhkan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: